Maut Dihempap Kenderaan Sendiri

Kenderaan mangsa terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan tersebut.

KALABAKAN: Hasrat dua lelaki menziarahi keluarga mereka tidak kesampaian selepas kenderaan yang dinaiki terbabas sebelum terbalik menyebabkan seorang daripadanya maut dalam kejadian di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Kana Anak Bennet, 25, maut di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dan dihempap kenderaan mereka menyebabkan kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, terdahulu mangsa dan abang iparnya, 45, dalam perjalanan dari arah Merotai ke Luasong untuk menziarahi keluarga mereka.

“Menurut mangsa terselamat iaitu pemandu pacuan empat roda berkenaan, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki lorong kenderaan mereka ketika cuba mengelak jalan rosak.

“Terkejut dengan keadaan itu, pemandu pacuan empat roda cuba mengelak sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan,” katanya kepada media.

Keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dihempap kenderaan mereka sendiri.

Menurut Peter, bagaimanapun, pemandu kenderaan yang juga abang ipar mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Setakat ini, pemandu kenderaan terbabit dipercayai tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *