Shafie Cuba Alih Perhatian Kes Tanah Bagahak, Kata Rahman

Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan (kiri) mendakwa Shafie tidak bercakap benar dalam isu tanah di Keningau dan Sook, di Sabah.

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri persekutuan menuduh Shafie Apdal memutar belit fakta apabila ketua menteri Sabah itu mendakwa kerajaan negeri sebelumnya tidak mematuhi prosedur yang betul dalam kelulusan tanah membabitkan syarikat Jawala Plantations Sdn Bhd di negeri itu.

Shafie berkata, ketika penyerahan hak milik tanah di Keningau dan Sook dibuat, tiada pihak mempertikaikan kerajaan negeri terdahulu kerana memberikan tanah kepada pemilik Jawala, Majid Khan.

Abdul Rahman Dahlan berkata, Jawala dipilih untuk mengambil bahagian dalam konsep pengurusan hutan lestari (SFM) dan Unit Pengurusan Hutan (FMU) bagi menangani isu konsesi yang tidak dikeluarkan kepada penduduk asal.

Katanya, Jawala dipilih kerana pengalaman mereka.

Namun katanya, disebabkan kekurangan saiz kawasan yang sesuai di satu-satu daerah di Sabah, maka difikirkan wajar FMU menimbangkan untuk berkongsi kawasan mereka, dengan membenarkan sebahagiannya ditanam semula.

Katanya, Pengurusan Hutan Sapulot bersetuju menyerahkan kira-kira 11,000 hektar daripada lesen FMU mereka, dan selepas Kabinet negeri memberikan persetujuan, maka pengecualian itu selesai dan lesen FMU Jawala dikeluarkan.

Rahman berkata, ia dilakukan bagi mempercepat usaha pengurusan hutan yang akan menyaksikan lebih banyak pemain industri, modal dan ekuiti diperolehi.

“Jelas bahawa Shafie, tanpa segan silu, berbohong kepada orang ramai mengenai masalah tanah berkaitan Jawala Plantations.

“Tujuan utama beliau mengetengahkan isu Jawala Plantations ialah untuk mengalihkan perhatian daripada kes tanah Bahagak,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu dalam satu kenyataan yang merujuk kepada keputusan kerajaan negeri memberikan tanah kepada peneroka di Lahad Datu.

Ia dikaitkan dengan kes rampasan tanah bernilai jutaan dolar membabitkan Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.

Liew bersama 2 yang lain didapati bersalah pada 2014 kerana mendorong sekumpulan pekebun kecil secara tidak sah untuk melanggar perjanjian usaha sama dengan Borneo Samudera, anak syarikat milik kerajaan, Sawit Kinabalu.

Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi RM557 juta kepada Borneo Samudera selepas mendapati berlaku perlanggaran kontrak.

Liew yang ketika itu menjadi peguam di pihak pembangkang, membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *