PN Mahu Laksana Ketuanan Malaya Ke Atas Sabah

Ewon Benedick

KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) adalah satu bentuk ketuanan Malaya ke atas Sabah dan pencerobohan parti Semenanjung terhadap autonomi negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, JPKKP tidak akan membantu penyatuan negara bangsa, sebaliknya meletakkan Sabah di bawah telunjuk parti Semenanjung menyebabkan hak-hak negeri ini terus diabaikan dan dimonopoli Putrajaya.

Beliau berkata, badan pentadbiran kampung merupakan urusan Kerajaan Sabah bukannya perlu diserahkan kepada parti dari Malaya.

“Saya akan mengangkat isu ini ke mesyuarat Kabinet Sabah minggu depan, tetapi saya ingin merekodkan bantahan saya ke atas cadangan tersebut, kerajaan negeri akan mengekalkan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang sedia ada sehingga tamat tempoh pelantikan pada hujung tahun ini.

“Saya tidak nampak cadangan tersebut boleh membantu penyatuan rakyat Sabah pada jangka masa panjang, juga tidak membantu aspirasi rakyat Sabah yang sudah sekian lama menuntut pengembalian hak-hak termasuk autonomi pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ewon berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan JPKKP di Sabah sekalipun Kerajaan Persekutuan mahu memperkasakan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong gagasan politik Kerajaan Persekutuan hari ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, MPKK akan dijenamakan semula kepada JPKKP yang digunakan di negeri-negeri milik Perikatan Nasional (PN).

“Harus diingat bahawa hal-hal berkaitan tanah dan pembangunan tanah masih menjadi kuasa penuh kerajaan negeri, jika JPKKP mahu bercakap tentang pembangunan tanah, masih memerlukan kelulusan di peringkat kerajaan negeri.

“Justeru, dalam hal ini, penubuhan JPKPP di Sabah akan menjadi satu pelaburan yang sia-sia jika kerajaan negeri tidak membenarkan pembangunan tanah tersebut. Adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan menghormati autonomi kerajaan negeri.

“Saya tidak pasti apakah pendirian Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak terhadap cadangan ini, tetapi jika beliau menyokong cadangan ini, maka saya boleh mengatakan antara sumbangan kementerian ini adalah memecah-belahkan komuniti kampung di seluruh Sabah melalui penubuhan satu lagi badan pentadbiran Persekutuan walaupun tiada keperluan sama sekali selain hanya memenuhi kehendak politik,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *