Mulianya Hatimu Syed Amirul

Sumbangan Syed Amirul.diperlukan untuk membantu seorang wanita hamil kerana mempunyai darah jenis O negatif. Foto Ihsan Syed Amirul Syed Mahusin

KOTA KINABALU: “Niat saya hanya untuk membantu mereka yang memerlukan, itu saja” kata Syed Amirul Syed Mahusin, 26, yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan Pelatih di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

Syed Amirul memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai ciapan dimuat naiknya di Twitter, baru-baru ini.

Menerusi ciapan berkenaan, Syed Amirul berkongsi tangkap layar mesej daripada seorang doktor meminta bantuannya menderma darah bagi kegunaan seorang wanita hamil.

Ia diperlukan sebagai persediaan wanita berkenaan yang bakal menjalani pembedahan pada 14 Julai depan dan hanya boleh menerima darah jenis 0 negatif.

Disebabkan itu, Syed Amirul dihubungi kerana mempunyai jenis darah yang sama.

Kesudian Syed Amirul membantu wanita berkenaan mendapat pujian warganet malah ada yang menyatakan keinginan mengikut jejak langkahnya dengan menjadi penderma darah.

Bercerita lanjut, Syed Amirul berkata, , dia dihubungi seorang doktor daripada Hospital Likas pada 1 Julai lalu dan tidak keberatan menderma kerana sudah biasa melakukannya.

“Menurut doktor berkenaan, wanita itu mempunyai darah jenis 0 negatif dan

mengalami masalah ‘placenta previa’ (uri berada di bawah).

“Jadi, ada kemungkinan untuk wanita itu tidak dapat melahirkan anak secara normal sebaliknya melalui proses pembedahan.

“Sebagai persediaan, bekalan darah diperlukan namun tidak ramai yang mempunyai darah jenis 0 negatif dan mungkin disebabkan itu, doktor berkenaan meminta bantuan saya untuk menderma,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Syed Amirul, sudah beberapa kali dihubungi pihak hospital untuk menderma darah.

Namun, kisah kali ini mungkin lebih mendapat perhatian kerana dia memuat naik ciapan di Twitter.

“Saya mula menderma darah secara sukarela sejak empat tahun lalu selepas mengikut seorang rakan melakukannya.

“Sejak itu, saya lakukannya dengan konsisten dan kebiasaannya akan menderma kira-kira dua hingga tiga kali dalam setahun mengikut keperluan.

“Cuma, kali ini saya kongsikan kisah itu di Twitter dan tidak sangka pula banyak maklum balas positif diterima.

“Diharap, ciapan itu dapat memberi mesej positif dan kesedaran untuk menderma darah kerana hakikatnya, ramai di luar sana yang memerlukannya,” katanya yang berasal dari Bera, Pahang.

Sehingga artikel ini ditulis, ciapan Syed Amirul mendapat 14,000 tanda suka dan 5,900 ulang ciap.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *