Bukti Kukuh COVID-19 Boleh Menjangkiti Bayi Dalam Kandungan – Saintis

Gambar Hiasan

PARIS: Saintis semalam memaklumkan terdapat ‘bukti kukuh’ bahawa ibu mengandung yang positif COVID-19 boleh menyebarkan virus itu kepada anak dalam kandungan.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu penemuan yang dilihat bakal mengubah kaedah bagaimana wanita mengandung akan dilindungi dalam tempoh pandemik ini.

Walaupun terdapat beberapa kes terpencil bayi dijangkiti virus itu, kajian itu menunjukkan terdapat kaitan kukuh pemindahan virus antara ibu mengandung dengan anak dalam kandungan.

Penyelidik di Itali mengkaji 31 wanita mengandung yang dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti COVID-19, dan menemui virus itu dalam uri, tali pusat, vagina seorang wanita dan dalam susu badan.

Mereka turut mengesan antibodi COVID-19 dalam tali pusat beberapa wanita mengandung, serta dalam spesimen susu badan.

Ketua penyelidik dari Universiti Milan, Claudio Fenizia, berkata penemuan itu secara kukuh menunjukkan bahawa penyebaran in-vitro boleh berlaku.

“Berdasarkan kadar individu dijangkiti di seluruh dunia, jumlah wanita mengandung yang boleh terkesan dengan perkara ini adalah berkemungkinan sangat tinggi,” katanya kepada AFP.

Fenizia bagaimanapun, menegaskan tiada seorang pun bayi yang dilahirkan dalam tempoh kajian itu, disahkan positif COVID-19.

Bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata wanita yang melahirkan anak dan dijangkiti COVID-19, boleh terus menyusu bayinya.

“Kita tahu kanak-kanak adalah berisiko rendah bagi COVID-19, namun tetap berisiko tinggi bagi pelbagai penyakit lain yang boleh dielakkan dengan penyusuan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Antara penemuan lain termasuk pasukan penyelidik itu mengenal pasti tindak balas keradangan yang dicetuskan oleh COVID-19 dalam uri dan plasma darah tali pusat wanita mengandung itu. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *