Shafie Serah 6,425 Hektar Geran Tanah Kepada 101 Kampung Di Sook & Keningau

KENINGAU: Penantian selama 40 tahun rakyat Keningau dan Sook untuk memiliki sendiri tanah yang telah diusahakan tertunai hari ini selepas menerima geran individu masing-masing daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Mohd. Shafie berkata, tanah berkeluasan 6,425.51 hektar itu yang terdiri daripada 2,300 geran individu diserahkan penduduk di 101 buah kampung yang telah membuat permohonan sejak sekian lama.

“Dalam usaha kita yang kita janjikan kepada rakyat di peringkat negeri Sabah kita mahu serahkan geran-geran tanah dan juga wartakan beberapa perkampungan yang lama tadi saya sempat berpeluang bercerita dengan penerima dia tunggu 40 tahun lebih untuk mendapatkan geran tanah.

“Ini merupakan satu langkah pihak kerajaan untuk membolehkan supaya penduduk kampung yang sekian lama berada di kampung-kampung itu dan mereka tidak mempunyai geran tanah, hari ini Sook kita sudah serahkan, di pantai timur di Sandakan dan hari ini Keningau dan ada tempat-tempat lain lagi yang kita akan beri tanah ini status Anak Negeri yang mempunyai hak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Geran Tanah Keningau dan Daerah Kecil Sook di Dewan Masyarakat keningau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Bernard Liew serta pemimpin-pemimpin masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM) Malaysia.

Semua geran berkenaan terdiri daripada Geran Individu Anak Negeri Hasil Pemansuhan Geran Komunal sebanyak 661 lot, Geran Individu Anak Negeri Hasil Pengukuran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) (741 lot) dan Geran Individu Anak Negeri Hasil Permohonan Tanah sebanyak 897 lot.

Ketua Menteri berkata, semua penerima geran berkenaan perlu mengusahakan tanah tersebut dan tidak dibenarkan untuk menjualnya demi memastikan mereka mempunyai aset untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

Katanya, di pihak kerajaan negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menyediakan pelbagai pakej serta bantuan untuk membantu rakyat di bahagian pedalaman berkecimpung dalam sektor pertanian bagi menjana pendapatan.

“Tanah ini jangan jual, dia tidak boleh jual dia boleh majukan seperti yang saya nyatakan kerajaan boleh bagi duit tetapi duit boleh habis tetapi kalau tanah ini dibangunkan dimajukan dia akan sampai akhir hayat hasil yang akan diperoleh bukan hanya sampai kepada kita sampai kepada anak cucu kita.

‘Saya juga bersekalikan dengan rancangan kerajaan negeri bila kita lancarkan pelan tindakan untuk membantu pemilik-pemilik tanah, tanam buah-buahan, tanam sayu dan juga hasil pertanian yang mempunyai permintaan dan harga yang hasil pendapatan mereka dapat menjana pendapatan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan Borneo Today di Kampung Mempulut mendapati penduduk yang terlibat dengan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) melahirkan kesyukuran selepas penantian mereka untuk memiliki geran tanah individu sejak tahun 1977 tertunai.

MAHANI RANGKAS

Mahani Rangkas, 55, berkata, dia telah mengusahakan tanaman pokok getah, sawit dan pelbagai jenis buah-buahan di tanah tersebut, justeru pemberian geran berkenaan amat bermakna untuknya.

“Memang saya pun rasa bangga juga kepada Ketua Menteri datang penyerahan geran Pantas seluruh pedalaman di Keningau yang diutamakan Kampung Mempulut kami sendiri, jadi saya pun berterima kasih kepada Jabatan Tanah atau pun Ketua Menteri.

“Kurang lebih barangkali kami di Mempulut semua kemungkinan dariapda saya pada tahun 1977 memang lama kurang lebih di sini saya pun umur 55 tahun sudah kan jadi memanglah wujud untuk pengukuran PANTAS dengan kami punya tanah.

“Memang saya gembira dalam ada yang dapat geran dalam Kampung Mempulut ini memng saya sokong juga saya dapat pun tidak dapat pun saya berterima kasih juga,” katanya.

RAITING RANGKAS

Raiting Rangkas, 59, berkata, dia dilahirkan di Kampung Mempulut dan membesar di situ dengan mengusahakan tanah tetapi ini adalah kali pertama dia mendapat geran yang mengesahkan tanah miliknya.

“Saya berterima kasih jugalah sebab saya punya geran saya dapat begitu, jadi saya memang gembira berapa tahun saya di sini memang lahir di sinilah jadi baru sekarang saya dapat geran.

“Memang saya gembira, saya punya getah dan kelapa sawit di sini, lama sudah saya pun tidak tahu berapa lama sudah,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *