Salahkah Jika Saya Bagi Tanah Kepada Rakyat? – Shafie

KENINGAU: Salahkah jika saya memberikan tanah kepada orang kampung, pekebun kecil yang telah membangunkan dan menuntut tanah itu sejak berpuluh tahun lalu?

Itu persoalan yang dilontarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada pihak-pihak yang mempersoalkan langkah Kerajaan Sabah menyerahkan lebih 6,000 hektar tanah kepada 2,000 pekebun kecil di Ladang Bagahak, Lahad Datu baru-baru ini.

Mohd. Shafie berkata, langkah tersebut adalah penyelesaian kepada tuntutan rakyat yang tertangguh sejak hampir 30 tahun, justeru tiada kena mengena dengan dakwaan beliau mahu menyelematkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew yang terpalit dengan tuntutan tersebut di mahkamah.

“Saya tidak boleh sebut secara terperinci kerana ini dalam mahkamah kalau saya sebut sangat nanti menghina mahkamah. Cuma ada yang beranggapan saya jaga Christina Liew itu tidak betul, semua tanah itu kita bagi dengan 2,000 lebih peneroka pekebun kecil itu hak mereka.

“Sebelum pilihan raya mereka datang ke rumah saya di Semporna dan mereka minta supaya tolonglah datuk kami sudah berpuluh tahun dapat RM400 dividen pun mengambil masa kadang-kadang. Ini tanah mereka duduk kita serahkan itu hak mereka, sudah ada 30 tahun itu apa salah dia nak bagi tanah kepada orang kampung bukan saya ambil tanah, bukan saya bagi dengan Christina Liew,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam satu program di Sandakan Sabtu lalu, Ketua Menteri mengumumkan kesemua 6,800 hektar tanah di Ladang Bagahak yang dituntut oleh pekebun-pekebun kecil di situ diserahkan kepada rakyat selepas selama ini dibangunkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu.

Tanah tersebut menimbulkan kontroversi apabila Christina yang mewakili pekebun-pekebun kecil dalam tuntutan itu yang dibawa ke mahkamah telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Tawau untuk membayar ganti rugi RM558 juta atas sebab-sebab yang dipersetujui mahkamah.

Mohd. Shafie berkata, perkara pokok dalam tuntutan tersebut ialah rakyat mahukan tanah, justeru selagi kes itu berada di mahkamah, mereka tidak akan dapat memiliki tanah berkenaan selama-lamanya.

Sehubungan itu katanya, apabila kerajaan memberikan tanah kepada rakyat, mereka akan dapat meneruskan usaha membangunkan tanah tersebut yang kini telah pun ditanam dengan pelbagai jenis tanaman.

“Saya bagi dengan 2,000 peneroka salahkah nak bagi dengan orang kampung punya tanah kalau itu cara dia nak menyelesaikan masalah, kita bukan bagi tanah dengan Christina dia dulu peguam yang membawa kes itu ke mahkamah 10 tahun lalu sehingga perkara ini.

“Tapi saya beritahu janganlah selesaikan di mahkamah menyusahkan rakyat, rakyat mahu geran tanah mereka mahu hak adakah penyelesaian dia dengan kita heret ke mahkamah, selama-lamanya mereka tidak akan dapat, penduduk kampung dalam keadaan kehidupan yang tertekan mereka mahu tanah tanam sayur-sayuran itu pun tanah mereka sudah ada tanaman yang baik.

“Jadi saya harap sungguh ini merupakan satu usaha yang dilakukan kerajaan dan kalau boleh kita selesai sebaik mungkin,” jelas beliau.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *