Boleh Tengok Wayang Dalam Kereta

Menteri Kanan Ismail Saabri Yaakob berkata, kerajaan masih menutup pintu sempadan, termasuk melarang kemasukan pelancong dan pekerja asing kecuali ekspatriat kategori EP1.

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan operasi pawagam pandu masuk (drive-in cinema) tetapi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk pengunjung mesti berada dalam kenderaan masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan juga bersetuju supaya penjualan makanan dibuat atas talian dan mengambil makanan secara pandu lalu (drive-thru).

“Petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga perlu ditempatkan untuk mengawal pergerakan pengunjung.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti ini bagi rujukan semua operator terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19 berjaya menahan 10 warga asing atas kesalahan imigresen.

“PDRM membuat 66 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 39,407 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PDRM membuat 1,056 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati semua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Dari 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan ke atas 13,918 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Daripada jumlah ini, 13,860 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 58 individu didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 630 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Singapura, Indonesia, India, Nepal, Qatar, UAE, Hong Kong, Ethiopia, Brunei dan Timor Leste semalam dan enam daripada mereka dibawa ke hospital,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *