Syarat Ketat Pekerja, Ekspatriat China Masuk Sabah

Sabah tetapkan hanya warga China yang ada visa dan bebas COVID-19 dibenarkan masuk negeri itu. Foto NSTP/gambar hiasan

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan negeri untuk membenarkan warga dari China masuk ke Sabah yang diumumkan baru-baru ini adalah bersyarat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, menegaskan kerajaan negeri tidak membenarkan warga China datang ke negeri ini untuk bekerja dengan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, hanya eksekutif atau pekerja China yang sebelum ini memperoleh visa dan permit dibenarkan kembali semula ke Sabah untuk bekerja.

Katanya, antara syarat dikenakan kepada golongan berkenaan ialah mereka datang dari kawasan yang diisytihar sebagai zon hijau.

“Kalau mereka dari kawasan yang ada kes, kita tidak akan benarkan mereka masuk ke Sabah. Kita sangat teliti perkara ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran dan Pencegahan COVID-19 di Wisma Bandaraya, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimban; Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah, Zainudin Aman dan Pengarah Urusan Sabah Net Sdn Bhd, Dr Liawas Barukang.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata Sabah tidak pernah berbincang dengan Pusat berhubung keputusan membenarkan pekerja dari China masuk ke negeri ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan kerajaan negeri sudah memaklumkan kepada Jabatan Imigresen berhubung keputusan itu.

Sementara itu, Yusof berkata, apa yang diputuskan Kabinet Sabah adalah bagi memulihkan semula ekonomi Sabah tanpa mengabaikan SOP yang ditetapkan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *