Pemilik Pusat Hiburan Labuan Rayu Dibenarkan Beroperasi

Gambar Hiasan

LABUAN, 8 Julai: Persatuan Pemilik-Pemilik Pusat Hiburan Labuan hari ini merayu supaya kerajaan Persekutuan membenarkan premis terbabit dibuka semula atas alasan mengalami kerugian besar sehingga RM600,000 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lepas.

Pengerusi Penajanya, Frederick Chua berkata pusat terbabit di pulau bebas cukai itu sewajarnya dibenarkan beroperasi semula ketika pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19.

Frederick Chua

“Kami berserta perniagaan hiburan lain tidak meraih sebarang pendapatan dan terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar gaji pekerja sepanjang tempoh penutupan operasi ini,” katanya kepada Bernama.

Chua berkata perniagaan tersebut juga sepatutnya dibenarkan beroperasi susulan kebenaran yang diberikan kepada pusat spa, perkhidmatan kesihatan dan refleksologi, termasuk yang dikendalikan oleh juruterapi kurang upaya penglihatan untuk dibuka semula sejak 1 Julai lepas.

“Semua mengalami kerugian kerana walaupun perniagaan tidak beroperasi tetapi gaji, bil elektrik, sewa bulanan serta pembekal masih perlu dibayar.

“Sukar untuk menyatakan jumlah (kerugian) yang tepat tetapi perniagaan hiburan di Labuan yang merupakan pulau bebas cukai serta hab minyak dan gas ini telah mengalami kerugian melebihi RM600,000 sejak tiga bulan lepas tanpa menerima sesen pun wang atau keuntungan.

“Pada masa ini kami tidak mampu membayar sewa RM10,000 sebulan selain perbelanjaan dan gaji pekerja. Sudahlah tiada pendapatan sejak tiga bulan lepas, ada pemilik premis yang tidak memberi kelonggaran bayaran sewa,” katanya yang mendakwa hanya segelintir pengendali yang menerima subsidi upah.

Beliau berkata status Labuan yang berstatus Zon Hijau dengan tiada sebarang kes jangkitan dilaporkan sejak sebulan lepas, juga adalah alasan kukuh untuk membolehkan mereka membuka semula perniagaan masing-masing.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *