Juara AKKF, FELDA Sahabat 3, Sabah Raih RM300,000

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (enam, kanan) menyampaikan tempat pertama anugerah Keceriaan Kampung FELDA 2020 kepada Ketua Peneroka FELDA Sahabat 3, Midon Bahoi (empat, kiri) pada perasmian sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Sungkai, hari ini. – Foto BERNAMA

SUNGKAI: FELDA Sahabat 3, Sabah dinobatkan sebagai juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) sempena sambutan Hari Peneroka 2020 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak, hari ini.

Tanah rancangan berkenaan mengenepikan cabaran enam finalis lain, sekali gus membawa pulang wang tunai RM300,000 dan sijil.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan hadiah kemenangan itu kepada wakil peneroka FELDA itu.

Pemenang kedua AKKF dimenangi FELDA Adela, Kota Tinggi yang membawa pulang RM200,000 manakala tempat ketiga dimenangi FELDA Raja Alias Empat, Negeri Sembilan yang menerima RM100,000.

Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Sementara itu, Anugerah Pencapaian Peningkatan Hasil Sawit Tertinggi 2019 di menangi Ketua Peneroka FELDA Serting Hilir 3, Negeri Sembilan, yang membawa pulang RM10,000

Anugerah Pencapaian Peningkatan Hasil Getah Tertinggi 2019 pula milik FELDA Kepis, Negeri Sembilan yang turut membawa pulang RM10,000.

Peneroka FELDA Bukit Bading, Terengganu pula dipilih sebagai pemenang Anugerah Usahawan Jaya FELDA, Mustafa Ab Ilah yang menerima RM10,000.

Sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 bertemakan ‘Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran.

Terdahulu, Perdana Menteri turut mengadakan sidang video secara langsung bagi bertanya khabar dengan peneroka FELDA di wilayah utara, wilayah selatan dan wilayah timur kira-kira 20 minit.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *