UMNO Sabah Buka Pintu Penyertaan Kepada Semua

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah membuka pintu kepada semua bekas pemimpin dan ahli serta individu lain yang ingin menyertai perjuangan parti itu.

Pengarah Komunikasinya, Ghazalie Ansing, berkata UMNO Sabah dari awal lagi berpendirian menerima kemasukan semula ke dalam parti berkenaan.

“UMNO Sabah membuka pintu kepada semua bekas pemimpin atau mana-mana pemimpin yang ingin berjuang bersama UMNO.

“Justeru, tidak timbul soal perlu ada perbincangan Ketua UMNO Sabah bersama ketua bahagian terlebih dahulu sebelum menerima penyertaan bekas pemimpin dan ahli UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Ghazalie menyifatkan tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai bijak apabila tidak mengamalkan dasar pilih kasih ataupun hanya menerima pemimpin tertentu untuk menyertai parti berkenaan.

“UMNO adalah parti yang inklusif, bukan eksklusif. Oleh itu, kita menerima sesiapa saja rakyat Bumiputera Malaysia yang layak untuk menjadi ahli.

“Dalam politik, perlu ada strategi dan rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli UMNO yang ingin kembali bersama parti.

“Walaupun UMNO Sabah sudah pulih, penyatuan semua pemimpin dan masyarakat akan menjadi jaminan parti bertambah kuat. Sehubungan itu, UMNO Sabah dijangka menerima kemasukan lebih ramai lagi pemimpin daripada pelbagai parti lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ghazalie berkata, UMNO Bahagian Kota Belud juga harus berlapang dada menerima mana-mana pemimpin yang berhasrat menyertai parti berkenaan dan bukan menghalang mereka.

Media sebelum ini melaporkan Bung Moktar sebagai berkata, UMNO Sabah sudah menerima surat permohonan bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, untuk menyertai semula parti itu.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Fadli Juanas, dilaporkan berkata pihaknya berpendirian permohonan mana-mana individu yang telah meninggalkan UMNO perlu dikaji semula dari segala sudut, selain memaklumkan belum menerima sebarang surat permohonan daripada Salleh Said.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *