Imigresen Sudah Maklumkan Kebenaran Pekerja China Masuk Sabah

KOTA KINABALU: Tidak timbul apa-apa isu tentang langkah Kerajaan Sabah memberi kebenaran kepada pekerja asing dari China masuk ke negeri ini memandangkan perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Imigresen sebelum dilaksanakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob mungkin tidak mengetahui perkara itu, justeru beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) untuk memaklumkannya bagi memastikan ada penyelarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Mohd. Shafie berkata, kebenaran itu diberikan kerana banyak projek pelaburan daripada syarikat China di Sabah terbantut dan untuk meneruskannya mereka memerlukan kepakaran teknikal tertentu dari China.

“Saya telah maklumkan kepada Imigresen dan saya telah minta SKN untuk berhubung maklumkan kepada mereka tentang perkara ini, mungkin saya tidak hubungi menteri dia tetapi Jabatan Imigresen ada di situ dan saya telah minta supaya selaraskan.

“Apa yang penting ktia tahu masalah kita selesaikan masalah supaya bagaimana ada projek-projek di Sabah ini yang terbantut kerana mereka belanja dan mereka melabur tunggu dibina dan mereka memerlukan pas yang ada pasal di antara mereka pekerja yang ada tenaga kerja teknikal jurutera yang mereka perlukan, perlu kita adakan di peringkat negeri Sabah kalau tidak nanti bangunan, landasan kereta api yang ada tidak akan berjalan oleh kerana kepakaran mereka kita perlukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan Kerajaan Persekutuan masih menutup pintu sempadan negara daripada rakyat China berikutan penularan wabak Covid-19, justeru kebenaran yang diberikan Sabah adalah tanpa perbincangan dengan pihaknya.

Menurut Mohd. Shafie, walaupun kuasa memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk masuk ke Sabah adalah di tangan kerajaan negeri, namun beliau tetap akan meminta SKN memaklumkan sekali lagi perkara itu kepada Persekutuan.

Tegasnya, tujuan utama kebenaran itu diberikan adalah untuk memastikan rakyat tempatan yang bekerja di sektor-sektor berkaitan tidak terus menganggur selain mampu menghidupkan kembali ekonomi negeri.

“Pekerja tempatan ada tetapi untuk membawa kepakaran teknikal dari China dan di samping itu perjanjian dahulu pun bila mereka melabur inilah perjanjian pekerja yang mereka nak bawah 200, 300 jadi itu yang saya minta di peringkat jemaah menteri kita perlu beri kelulusan dengan beliau yang penting kita selesaikan masalah yang penting projek berjalan bila projek berjalan ekonomi berjalan.

“Penduduk rakyat kita akan dapat kerja, dapat kerja dapat gaji, dapat gaji dapat makan, orang rumah pun senang anak-anak dia senang jadi yang penting kita selesaikan tidak payah kita besarkan.

“Jadi saya akan minta SKN hubungi walaupun itu bidang kuasa kerajaan negeri siapa yang boleh masuk siapa yang tidak boleh masuk tetapi itu perkara kita ketepikan yang penting G2G saya sudah maklumkan jadi walaupun mungkin agak lambat mereka maklumkan dan saya bagi arahan maklumkan SKN, pengarah Imigresen yang penting pekerja dapat datang bekerja,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *