Dua Lelaki Tempatan Miliki Syabu Ditahan Di Kinarut

Dua lelaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di tahan di Kinarut, Papar.

PAPAR: Dua lelaki tempatan ditahan, selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Kinarut, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kedua-dua suspek berusia 30-an turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphethamine.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

“Hasil saringan awal terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah dan pemeriksaan lanjut juga mendapati mereka memiliki 0.15 gram syabu.

“Kedua-duanya kini ditahan reman mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) akta yang sama bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, tangkapan itu adalah salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah itu.

“Selain itu bagi memastikan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi penduduk setempat.

“Oleh itu, orang ramai diminta terus memaklumkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *