Dua Anggota Polis Terselamat Kenderaan Dinaiki Terbabas

Foto Ihsan Pembaca

LAHAD DATU: Dua anggota polis yang menaiki pacuan empat roda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terselamat selepas kenderaan mereka terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Felda Sahabat 7, Jalan Tungku-Felda Sahabat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kedua-dua anggota yang menaiki Isuzu Westar dikatakan dalam perjalanan dari arah Tambisan menuju ke Gate 55, Felda Sahabat.

Foto Ihsan Pembaca

Bagaimanapun, sebaik tiba dilokasi, keadaan hujan lebat dan berselekoh dipercayai menjadi punca kenderaan pasukan polis itu terbabas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelah kanan di laluan bertentangan.

Katanya, akibat kejadian itu, pemandu dan penumpang berusia 32 dan 34 tahun mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Lahad Datu menggunakan kenderaan awam untuk menerima rawatan selanjutnya.

“Kenderaan berkenaan juga mengalami kerosakan teruk di hampir keseluruhan bahagian badan kenderaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nasri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *