Portal Dakwa 62 Peratus Sokong Shafie Jadi PM Ke-9

Laporan hasil undian dalam talian yang dijalankan portal Warisan Online setakat jam 10 malam semalam.

KOTA KINABALU: Sebuah laman portal dari Sabah melaporkan 62 peratus rakyat Malaysia bersetuju menyokong Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan sekiranya Pakatan Harapan (PH) Plus berjaya merampas kembali Putrajaya.

Berdasarkan undian dibuat secara dalam talian oleh portal Warisan Online dengan jumlah undian terkumpul sebanyak 1,909 responden setakat jam 10 malam semalam, 1,185 daripadanya menyokong pencalonan Mohd Shafie, manakala 724 responden menolak cadangan itu.

Menurut portal Warisan Online, undian dibuka sejak dua hari lalu didakwa berjaya menarik minat ribuan netizen untuk mengambil bahagian.

Portal rasmi parti dikuasai Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah ketika ini turut mendakwa penduduk Borneo begitu teruja dengan pencalonan seorang pemimpin dari gugusan itu sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 57 tahun.

“Perkara ini dijangka berjaya, lebih lebih lagi ia dicadangkan dan disokong oleh (bekas Perdana Menteri) YB Tun Dr Mahathir (Mohamad).

“Pelantikan Mohd Shafie dijangka dapat menyelesaikan konflik politik yang sedang berlaku di mana jumlah ahli parlimen PH dan PN (Perikatan Nasional) berada dalam kedudukan hampir sama rata,”dakwa portal berkenaan.

Portal Warisan Online turut menyatakan tinjauan dalam talian dibuat merangkumi rakyat dari Parlimen Tambunan, Keningau, Kalabakan, Tawau, Beluran, Ranau, Kota Belud dan Kota Kinabalu.

“Semua responden menyatakan setuju dan inilah masanya.

“Rakyat Borneo juga adalah rakyat Malaysia. Dengan pengalaman dan kepakaran (Mohd) Shafie, beliau layak diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-9,” kata portal itu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menyifatkan Mohd Shafie sebagai ‘popular’ menerusi laman sosial Facebooknya, pagi tadi.

“Popular juga Shafie Apdal ni,” katanya.

Polemik pencalonan Perdana Menteri dalam kalangan PH Plus mengundang keretakan di antara parti-parti dalam blok pembangkang sejak beberapa minggu lalu.

Hal itu susulan PKR menolak pencalonan Dr Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri bagi kali ketiga.

Sebaliknya parti itu bertegas mahukan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan calon Perdana Menteri sekiranya PH Plus berjaya mengambil alih Putrajaya dari tangan PN.

Bagaimanapun, DAP dan Amanah lebih cenderung menyokong Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dengan memberi alasan Anwar gagal membuktikan angka sokongan ahli Parlimen terhadapnya, berbanding Dr Mahathir.

Terbaharu, Dr Mahathir menolak untuk bekerjasama dengan PKR, sebaliknya mencalonkan pula Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi PH Plus.

Lebih menarik, Dr Mahathir masih mengekalkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri I, dengan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dicalonkan Timbalan Perdana Menteri II. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *