Parti Liar: 20 Individu Dituduh Di Mahkamah

TAWAU: Seramai 20 individu termasuk seorang ibu tunggal dan pasangan adik beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini, atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Semua tertuduh terdiri daripada 12 lelaki dan lapan wanita berumur antara 21 hingga 31 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika menjalani ujian saringan air kencing di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, antara pukul 1.35 petang, 30 Jun 2020 sehingga jam 11 pagi, 1 Julai 2020.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan hanya seorang daripada tertuduh didakwa positif methamphetamine dan amphetamine, manakala 19 tertuduh lain didakwa positif ketamin, methamphetamine serta amphetamine.

Sehubungan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Bagaimanapun, hanya pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus dan tiada pengakuan tertuduh direkodkan.

Dzul Elmy kemudian membenarkan 17 daripada tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,800 oleh dua orang penjamin tempatan dan beralamat tetap.

Beliau kemudian menetapkan 4 dan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan ujian kimia air kencing tertuduh.

Manakala tiga tertuduh lain iaitu dua lelaki dan seorang wanita tidak ditawarkan jaminan dan dipenjara sehingga tarikh sebutan semula kes mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Kimberly Henrikus, 24, Abdul Sidi Mulpy, 29, dan Mohd Iqbal Japar, 22, didenda RM1,000, gagal bayar satu bulan penjara selepas mengaku bersalah ingkar perintah kawalan pergerakan di mahkamah yang sama.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan mereka didakwa melakukan kesalahan itu sebuah rumah bernombor TB 1734 Taman Nordin, Tawau, pada 30 Jun 2020, jam 8.30 pagi.

Dzul Elmy berkata, ketika ini, negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos depan dan Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan sekiranya kes (Covid-19) meningkat, kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

“Orang lain cari kerja untuk tambah pendapatan, kamu macam lepas geram untuk bersosial.

“Ambil iktibar daripada perkara ini dan semoga kita semua berjaya mengurangkan risiko jangkitan penyakit (Covid-19),” katanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Awang Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 23 individu pada Selasa lalu, selepas didakwa menyertai parti liar di sebuah rumah sewa di Taman Nordin.

Semua individu itu ditahan selepas didakwa berkumpul di dalam rumah mewah itu sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial seperti mana di bawah Jadual Aktiviti Terlarang (Peraturan 3) dan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *