Tidak Mampu Bayar Tambang, 300 Pelajar Asrama Jalan Kaki 3.6KM?

Sebahagian pelajar asrama menaiki van ke sekolah dengan tambang RM2 sehari.

TONGOD: Kerajaan diminta mengambil tindakan segera membantu pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon yang terpaksa membayar RM2 sehari untuk menggunakan perkhidmatan van swasta pergi dan balik ke sekolah setiap hari.

Bagaimanapun, disebabkan ramai pelajar tidak mampu membayar tambang tersebut, pemandu van berkenaan dijangka menamatkan perkhidmatan bermula Isnin depan menyebabkan para pelajar bakal berjalan kaki 3.6 kilometer setiap hari untuk ke sekolah.

Bangunan asrama SMK Entilibon yang usang.

Seorang bapa pelajar ketika menghubungi Borneo Today berkata, masalah tersebut berpunca daripada kedudukan asrama yang terletak 1.8 kilometer dari sekolah menyebabkan pelajar terpaksa mengeluarkan duit tambang atau berjalan kaki ke sekolah bagi yang tidak mampu.

“Kami dimaklumkan oleh pemandu van tersebut ramai pelajar atau ibu bapa tidak mampu bayar, namun mereka tetap dibenarkan menaiki van kerana rasa kasihan daripada pemandu itu.

“Tetapi disebabkan kerugian terutama untuk menanggung kos minyak setiap hari, pemandu  van itu tidak mampu lagi menghantar para pelajar, jadi maksudnya selepas ini semua pelajar asrama akan berjalan kaki 3.6 kilometer sehari,” katanya.

Difahamkan, terdapat kira-kira 40 pelajar asrama yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ketika ini tetapi jika sekolah mula beroperasi sepenuhnya pertengahan Julai depan, jumlah itu meningkat kepada lebih 300 orang.

Jika tiada apa-apa tindakan alternatif menyediakan pengangkutan pelajar diambil, ini bermakna semua mereka perlu berjalan kaki dan boleh menimbulkan isu keselamatan di jalan raya.

Menurut maklumat yang diterima, bangunan SMK Entilibon disiapkan sejak 2016 tanpa asrama, justeru walaupun sesi persekolahan telah berpindah di situ lebih tiga tahun lalu, kedudukan asrama masih di lokasi lama.

Sementara itu, beberapa sumber yang dihubungi Borneo Today memaklumkan projek asal bangunan SMK Entilibon yang dibina kerajaan terdahulu memang tidak melibatkan bangunan asrama menyebabkan timbul tanda tanya.

“Sejak bertahun-tahun SMK Entilibon ada asrama dengan peruntukan makanan sampai jutaan ringgit tetapi kenapa semasa dibina bangunan baharu tiada asrama disertakan.

“Kita tidak tahu jika kerajaan pada masa itu tidak perasan kewujudan asrama ini atau macam mana, cuma sekarang kesannya menyusahkan para pelajar,” tambahnya.

Borneo Today telah berusaha menghubungi pihak pentadbiran SMK Entilibon untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara itu, namun masih belum berjaya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *