Shafie & Anwar Sama-Sama Layak Jadi Perdana Menteri

Christina Liew

KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew, berkata, sebagai rakyat Sabah, beliau menyambut baik cadangan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan (PH) Plus.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata apa yang dikatakan hanyalah kenyataaN dan perasaan beliau dan tidak mewakili keseluruhan PKR Sabah.

”Kamu bertanya apakah perasaan saya tentang Shafie untuk dicalonkan menjadi perdana menteri.

“Saya akan menjawabnya, sebagai rakyat Sabah, saya menyambut baik cadangan ini,” katanya dalam ceramah secara langsung secara online, semalam.

Christina bagaimanapun menegaskan PKR Sabah secara konsisten menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk PH Plus.

Katanya yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Anwar serta Shafie masing-masing berkelayakan dan mampu menerajui negara.

“Sebilangan besar rakyat Sabah juga menyambut baik cadangan ini (Shafie dicalonkan sebagai PM) kerana setelah setengah abad, kita sekarang memiliki seorang pemimpin dengan kualiti seorang perdana menteri untuk memimpin negara.

“Saya sangat gembira, saya bertanya dengan rakan-rakan saya, beberapa ratus dari mereka, dan mereka sangat gembira dengan (perkara) itu.

“Saya percaya Shafie sangat berpengalaman dalam mentadbir di peringkat persekutuan dan negeri. Beliau adalah seorang yang berwawasan,” katanya.

Sementara itu, Christina berkata, walaupun beliau menyambut baik cadangan itu, pertemuannya dengan biro politik PKR Sabah telah bersetuju untuk secara konsisten menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

“(Mengenai) isu Shafie dicalonkan untuk menjadi perdana menteri, setiap anggota menyambutnya dengan baik,” katanya.

“Apa (akan) berlaku kepada Anwar? Beliau adalah presiden PKR dan PH. Beliau turut berkelayakan dan mampu memimpin negara.

“Pertelingkahan (politik) telah berlangsung selama tiga hingga empat bulan, kemunculan Shafie (dicalonkan sebagai calon perdana menteri PH Plus) adalah satu nafas segar,” katanya.

Tambah beliau, Anwar telah memberitahunya bahawa beliau sedang menunggu keputusan muktamad dari DAP dan Amanah sebelum PH Plus mencari jalan penyelesaian mengenai perkara itu.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *