Polis Rampas 18,320 Kotak Minuman Keras

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya merampas 18,320 kotak minuman keras dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Tuaran bermula 23 Jun hingga 29 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, semua minuman keras pelbagai jenis itu dipercayai diseludup masuk ke negeri ini dan dianggarkan bernilai RM2,367,099 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, serbuan itu membabitkan rampasan sebanyak tujuh kontena dan tangkapan tujuh individu.

“Serbuan pertama membabitkan serbuan terhadap sebuah gudang di kilometer 27 Jalan Telipok Lama pada 23 Jun dan berjaya menemui tiga kontena berisi 8,040 kotak minuman keras.

“Ketika serbuan, polis berjaya menahan dua lelaki yang dikenalpasti sebagai penjaga dan penyelia gudang berkenaan,” katanya pada Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Perjudian di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Zaini berkata, serbuan kedua pula berlaku pada 29 Jun lalu apabila sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu sebuah kontena yang diletakkan di Jalan Kilang Kolombong.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 2,600 kotak minuman keras disembunyikan di dalam kontena berkenaan.

“Bagaimanapun dalam rampasan ini, tiada sebarang tangkapan dapat dilakukan semasa serbuan berkenaan.

“Serbuan ketiga juga berlaku pada hari yang sama apabila polis membuat serbuan di tapak penyimpanan kontena di Jalan Tuaran Bypass.

“Dalam serbuan itu polis merampas tiga kontena berisi 7,680 kotak minuman keras pelbagai jenis dan menahan lima individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan,” katanya.

Zaini berkata, semua minuman keras berkenaan dipercayai diseludup masuk dari luar negara dan mungkin mempunyai kaitan antara satu sama yang lain.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *