Kes Kolera Di Sabah Meningkat

KOTA KINABALU: Bilangan kumulatif kes penyakit kolera di Sabah kini meningkat kepada 21 kes susulan pertambahan dua lagi kes baharu yang dikesan di Semporna dan Beaufort.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Min Fung berkata, angka itu berdasarkan pemantauan lebih sebulan antara 29 Mei sehingga 1 Julai di seluruh negeri.

“Jangkitan penyakit bawaan air dan makanan yang tercemar ini didapati melibatkan pesakit yang berumur antara satu tahun sehingga 80 tahun,” katanya, di sini.

Frankie berkata, antara faktor jangkitan bakteria kolera akibat makanan yang tidak dimasak atau makanan tercemar dan memasak makanan tanpa menggunakan sumber air terawat.

Mengulas lanjut, kekhuatiran timbul berikutan gejala kolera termasuk cirit-birit boleh membawa maut jika tidak dirawat segera khususnya jika menjangkiti bayi dan kanak-kanak.

“Penting untuk kita selalu mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu seperti minum air masak, membasuh tangan dengan betul sebelum makan atau menyediakan makanan.

“Jagalah kebersihan selepas memasuki tandas, dan memastikan makanan laut atau daging yang hendak dihidangkan sudah dimasak dengan betul terlebih dahulu,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *