Tawaran Internet 1GB Percuma Dilanjutkan Sehingga 24 Jam

KUALA LUMPUR: Pengendali telekomunikasi tempatan yang terdiri daripada Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) melalui unifi mobile, memanjangkan akses kepada penawaran Internet Produktiviti 1GB percuma sehingga 24 jam.

Akses itu akan berkuat kuasa dari 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.

Pelanggan boleh merujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing untuk tarikh mula.

Sebelum ini, akses ke internet 1GB percuma bermula dari jam 8 pagi dan 6 petang.

Dalam kenyataan bersama, pengendali telekomunikasi terbabit berkata, semua pelanggan aktif bagi pengendali pasca bayar dan prabayar akan dapat menikmati internet percuma 1GB setiap hari untuk pembelajaran dan alat produktiviti serta keperluan penyemakan imbas, kecuali media sosial, penstriman video, permainan dan penstriman muzik.

“Internet 1GB percuma yang disediakan setiap hari melebihi peruntukan data bulanan pelanggan dari rancangan mereka yang sedia ada, bermaksud pelanggan

dapat menebus sehingga 30GB data sebulan secara percuma.

“Pelanggan dinasihatkan untuk merujuk kepada pengendali masing-masing untuk maklumat lebih lanjut mengenai cara menebus tawaran Internet percuma setiap hari dan senarai perkhidmatan yang disertakan,” kata kenyataan itu.

Inisiatif bersama internet percuma 1GB setiap hari adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai tambahan kepada internet percuma 1GB setiap hari, pengendali akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had kepada pelbagai aplikasi serta perkhidmatan berita yang boleh dipercayai untuk memastikan rakyat Malaysia terus mendapat maklumat terkini mengenai COVID-19.

Senarai ini merangkumi aplikasi MySejahtera dan MyTrace, di samping sumber dan hotline kesihatan penting seperti Hotline CPRC, selain laman web Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Untuk menyokong pengguna dan perniagaan rakyat Malaysia, pengendali juga menyampaikan pelbagai tawaran prabayar dan pascabayar yang berpatutan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *