Sayap Pemuda Parti Kerajaan Sokong Shafie Jadi Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Sayap Pemuda parti-parti kerajaan Sabah melihat cadangan pencalonan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri satu peluang terbaik untuk mengembalikan autonomi Sabah dan Sarawak.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, sayap Pemuda Parti Warisan Sabah (Warisan); Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY), Pemuda AMANAH Sabah dan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebulat suara menyokong cadangan mengangkat Mohd Shafie, sebagai pemimpin Borneo pertama menjadi calon Perdana Menteri.

Ketua DAPSY Phoong Jin Zhe yang mewakili semua kepimpinan Pemuda berkata, Mohd Shafie adalah tokoh pemimpin negara yang lebih muda berbanding calon-calon Perdana Menteri lain.

Malah, beliau sentiasa menyantuni golongan belia dan mengangkat suara anak muda Sabah.

Katanya, mereka juga bersetuju menyokong cadangan sedemikian bagi membawa aspirasi baharu kepada Malaysia.

“Kami penuh yakin bahawa Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal adalah calon terbaik untuk menyelesaikan masalah perkauman dan agama yang telah lama wujud di negara ini.

“Lebih-lebih lagi, Perdana Menteri Borneo dapat memastika bahawa Sabah dan Sarawak akan mendapat kembali hak sebagai rakan kongsi setara,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin Pemuda lain, di sini hari ini.

Pada 27 Jun, Tun Mahathir Mohamad mengumumkan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) plus.

Menurutnya, mereka juga menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama belia dan pemimpin negara untuk menyokong cadangan menjadikan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri Malaysia Timur yang pertama bagi membina Malaysia baharu yang sederhana, majmuk dan harmoni.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan sama-rata yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)  masih tidak dapat dilihat sehingga hari ini, selepas 57 tahun penubuhan Malaysia.

“Tiada siapa pun dapat bayangkan sejauh mana, kita telah dijauhkan dari negara yang makmur dalam pembahagian kekayaan dan pembangunan yang tidak sama-rata antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

“Ini bukan salah rakan kongsi kita. Ini kerana ahli politik yang tidak bertanggungjawab mengenepikan Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah Mohd Ismail Ayob, Ketua Pemuda AMANAH Sabah Mohd Khairuddin Daud; dan Ketua Pemuda UPKO dan Felix Joseph Saang.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *