Banjir Sabah: Ibu Bersama Bayi 4 Bulan Panjat Bumbung Selamatkan Diri

Joesia bersama suami dan anak bongsunya yang berusia 4 bulan.

PAPAR: Berada lebih 3 jam di bumbung rumah sementara menanti pasukan penyelamat tiba merupakan detik yang tidak akan dapat dilupakan oleh Joesia Jintan.

Joseia, 33, yang menetap di Kampung Penampang Baru, Kimanis ini berkata, dengan anak bongsunya yang baru berusia empat bulan, mereka sekeluarga terpaksa berteduh di atas bumbung bagi menunggu pasukan penyelamat tiba.

Katanya, air naik terlalu cepat sehingga mereka tidak sempat untuk menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

“Kawasan halaman rumah mula dinaiki air kira-kira 7 malam dan dalam sekelip mata sahaja, air sudah masuk dalam rumah.

“Dalam 8 lebih, kami terpaksa naik ke bahagian bumbung dapur kerana paras air dalam rumah semakin tinggi.

“Masa ini, anak-anak saya sudah mula menangis kerana takut dengan keadaan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Papar, di sini hari ini.

Ibu kepada lima anak ini berkata, biarpun sebelum ini kawasan pekarangan rumahnya selalu banjir apabila hujan turun namun, ini kali pertama air naik sampai dalam rumah.

Atas sebab itulah, dia panik dengan kejadian banjir yang berlaku. Bagaimanapun, dia sempat menyelamatkan satu beg pakaian bayi dan dokumen penting.

Katanya, semua barangan rumah yang lain dan kereta habis ditenggelami air.

SINGON DAKIKIM

Turut berkongsi detik cemas dengan kejadian banjir yang dianggap paling teruk di Papar ini ialah Singon Dakikim, 70, dari Kampung Batu Bandung, Kimanis.

Pasangan warga emas yang tinggal sendirian ini berjaya diselamatkan dengan keprihatinan jiran tetangga.

Singon berkata, dia dan suami cuba untuk berpindah ke kawasan tinggi namun, air naik begitu pantas hingga mereka tidak sempat berbuat apa-apa.

Katanya, nasib ada anak iparnya yang tinggal berdekatan. Mereka yang membantu menghubungi pasukan penyelamat.

”Semua rumah di kawasan kami dinaiki air. Saya pun risau tengok air naik begitu cepat. Dengan tiang rumah yang sudah reput, saya risau juga rumah ditenggelami air,” katanya.

JUVINAH SINGAU

Manakala, Juvinah Singau, 52, yang tinggal berhampiran dengan pasangan warga emas itu, keadaan banjir kali ini adalah yang terburuk sejak berlakunya Ribut Greg pada 1996.

Katanya, biarpun kawasan kampung mereka selalu dilanda banjir tapi ini adalah banjir terburuk. Ia kerana air turut masuk ke dalam rumah yang tinggi.

Ibu tunggal yang tinggal bersama dua anaknya ini berkata, hanya dalam 10 minit sahaja air sudah masuk ke dalam rumah.

Ditanya mengenai keadaan perlu berkumpul dalam dewan sebegitu ketika wabak Covid-19 belum berakhir, Juvinah berkata, biarpun risau dengan jangkitan wabak namun, mereka tidak ada pilihan.

“Kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan kerana kawasan kampung sudah dinaiki air. Namun, kami tetap mematuhi arahan diberikan anggota bertugas,” ujarnya.

Beliau berkata, memandangkan kebanyakan rumah dapur berada di bawah jadi, habis barangan perkakasan dapur ditenggelami air. Keadaan ini pasti akan membebankan mereka kerana banyak peralatan elektrik akan rosak.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *