8 Kampung Tenggelam Di Penampang, Pekan Donggongon Lumpuh

Keadaan Pekan Donggongon, Penampang pada 7 pagi tadi, gambar ehsan Pejabat ADUN Kapayan

PENAMPANG: Pusat perniagaan Pekan Donggongon lumpuh selepas hampir keseluruhan kawan itu ditenggelami air banjir sedalam antara satu hingga 1.5 meter.

Tinjauan Borneo Today mendapati, golongan yang paling terjejas ialah penjaja sayur-sayuran dan kuih muih yang tidak mempunyai premis perniagaan.

AMBROSE BACHOK

Seorang penjual kuih, Ambrose Bachok, 61, berkata, semua peniaga kuih di Donggongon tidak dapat berniaga hari ini disebabkan tapak perniagaan mereka ditenggelami air sehingga satu meter.

Katanya beberapa barang perniagaannya turut rosak dan sebahagiannya dihanyutkan air banjir.

“Kurang-kurang jam 4 pagi datang sini, kami tinggal sini di Penampang, Huba kami jalan kaki air sampai sini, kalau naik kereta tidak boleh limpas (lalu).

“Kalau banjir begini ini mungkin dua hari baru dapat menjual, mungkin esok belum boleh jual, tunggu dua tiga hari begitu,” katanya yang telah berniaga di situ lebih 10 tahun.

Sementara itu penjual sayur, Dea Padila Lajang berkata, dia bersama bapanya datang menyelamatkan sayur-sayuran yang dijual agar tidak rosak selepas gerai mereka turut tenggelam.

Katanya, ini adalah kali pertama gerai mereka ditenggelami air banjir dan menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM700.

“Saya sedih sebab banyak sayur rosak dan hanyut tetapi kami tidak boleh buat apa-apa, cuma selamatkan apa yang masih tinggal.

“Apabila hujan tidak berhenti sehingga subuh tadi, kami mula risau dan apabila sampai sini kira-kira 8 pagi, semuanya sudah tenggelam,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang melaporkan sebanyak enam kampung di Penampang dilanda banjir iaitu Tuavon, Dabak, Kambau, Penampanh Proper, Kambazan Kolopis dan Putaton Inobong.

Beberapa jalan turut tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan iaitu Jalan Kiranau Inobong, Jalan Kolopis, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kibabaig dan Jalan Kivatu Kasigui.

Menurut JPBD, Pusat Kebudayaan Penampang telah dibuka sebagai pusat pemindahan mangsa banjir di daerah itu.

SALMAH OMAR

“Sebanyak 21 mangsa daripada enam keluarga telah ditempatkan di situ,” kata jawatankuasa itu.

Seorang mangsa, Salmah Omar berkata, rumahnya mula ditenggelami air sejak pukul 9 malam tadi dan masih belum surut sehingga pagi ini.

“Semalam mula jam 9 sampai sekarang sebab hujan lebat, sebelum naik air kami sudah naikkan barang.

“Memang biasa sudah kami banjir di sini saya tidak minta pergi tempat perpindahan sebab tempat kerja saya jauh,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *