Pusat Akuatik & Kolam Renang Di Sabah Boleh Dibuka Mulai 1 Julai

KOTA KINABALU: Semua pusat akuatik dan kolam renang kendalian kerajaan dan swasta di Sabah boleh beroperasi semula bermula 1 Julai depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, ini seiring dengan pengumuman Ketua Menteri semalam yang membenarkan kolam renang beroperasi semula selepas hampir empat bulan ditutup susulan penularan jangkitan wabak Covid-19.

Beliau berkata, kelonggaran terbaru itu diberikan selepas semua pemilik, pengurus atau operator menyediakan kemudahan dan menyusun peralatan di premis masing-masing mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri.

Katanya, aktiviti sukan air dalam kolam renang yang dibenarkan ialah terjun dan menyelam di mana ianya boleh melibatkan latihan, kompetitif, rekreasi mahupun riadah dan juga belajar berenang.

Bagaimanapun, semua pengunjung kolam renang perlu mematuhi SOP pendaftaran menerusi MySejahtera atau SabahTrace. Operator juga wajib menyediakan cecair pensanitasi tangan, pengimbas suhu tanpa sentuhan serta buku kehadiran di semua pintu masuk.

“Setiap pengguna wajib mendapatkan bacaan suhu badan di mana mereka yang mencecah suhu 37.5°C ke atas adalah tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan kolam renang.

“Pengguna juga perlu membersihkan diri (siram badan) sebelum menggunakan kolam renang.

“Ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak-anak tidak dibenarkan memasuki pekarangan kolam renang dan pastikan aktiviti terjun dan menyelam hanya dilakukan di kolam yang dikhususkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Phoong berkata, operator juga perlu mewujudkan jadual penggunaan mengikut penggiliran, penyediaan tatacara pengendalian kes kecemasan.

“Selain itu, pengguna yang menghidap penyakit berjangkit yang berbahaya dan penyakit kulit dilarang menggunakan kolam renang,” ujarnya.

Menurutnya, semua operator kolam renang juga perlu menyediakan peralatan nyah kuman untuk setiap sesi sebelum penggunaan, semasa dan selepas penggunaan serta setiap kali penggunaan.

Katanya, pengguna pula tidak dibenarkan sama sekali untuk berkongsi botol air, tuala, goggles (cermin mata selam), kicking pad, topi renang, pengepit hidung, papan pelampung serta semua peralatan lain, di mana pengguna perlu menyediakan semua untuk keperluan sendiri.

Di samping itu, operator perlu memastikan penggunaan bilik mandi atau persalinan dihadkan bilangan pengguna yang minima serta dibersihkan secara kerap.

Untuk parameter dan nilai piawai bagi kualiti air adalah tertakluk kepada Garis Panduan Pemantauan Kualiti Air Kolam Renang yang terkini yang dikeluarkan oleh KKM serta pastikan ujian klorin air dalam kolam renang dilakukan sekali setiap dua jam operasi.

Dalam aspek penjarakan sosial, pastikan penanda dan pandu arah yang jelas mengikut aktiviti statik pada jarak 1-3 meter dan aktiviti gerakan / dinamik pada jarak 3- 5 meter dalam kolam renang.

Untuk penyampaian maklumat atau tunjuk ajar bagi program belajar berenang pula perlu dilakukan secara lisan tanpa melibatkan sentuhan fizikal (anggota badan) antara pelatih dan pengguna premis.

Bilangan pengguna pada satu masa yang sama adalah tertakluk pada saiz premis untuk mengelakkan kesesakan. Semua pengunjung perlu memakai pelitup muka sepanjang masa kecuali semasa melakukan aktiviti latihan.

Katanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, dan golongan kelainan upaya (OKU) adalah tidak digalakkan untuk menggunakan kolam renang buat sementara waktu ini.

Kanak-kanak bawah umur 12 tahun adalah tidak digalakkan mengunjungi kolam renang. Bayaran transaksi tanpa sentuhan amat digalakkan.

Phoong juga mengingatkan agar kemudahan tambahan seperti sauna, jacuzzi dan lain-lain adalah tidak dibenarkan.

“Sebarang aktiviti rekreasi atau riadah sampingan di sekitar kolam renang juga tidak dibenarkan. Ini termasuk penganjuran kejohanan dan pertandingan.

“Kesemua SOP perlu juga mematuhi peraturan dan arahan semasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelasnya.

Tambahnya, had masa penggunaan kolam yang ditetapkan bermula 6 pagi hingga 7.30 malam sahaja untuk semua kolam renang di bawah kendalian Lembaga Sukan Negeri Sabah (LKNS).

Katanya, pembukaan operasi kolam renang di kawasan zon merah atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.

Sebelum ini, pembukaan semula penggunaan kemudahan sukan dan peralatan dalam bangunan juga telah dibenarkan. Ia melibatkan gimnasium (latihan gimnasium, aktiviti aerobik dan zumba); tenpin boling, snuker dan biliard, serta pusat sukan elektronik.

Turut dibuka adalah gelanggang dalam bangunan bagi badminton dan Tenis serta sukan ekstrem payung terjun, papan luncur, paramotor dan lain-lain.

Kementerian turut memberi kelonggaran baharu untuk membenarkan pemain badminton dalam acara beregu.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *