Lebih 1,000 Ahli WARISAN Parlimen Libaran Keluar Parti

SANDAKAN: Lebih 1,000 ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) termasuk 11 ketua cawangan dari Parlimen Libaran mengumumkan keluar parti hari ini atas kekesalan mereka terhadap pemimpin parti itu yang dianggap tidak mempedulikan cawangan terbabit selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman keluar parti itu, yang membabitkan semua cawangan parti di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Airport dan Sibugal, dipimpin oleh ketua cawangan Sejati 1, Ibrahim Yusof.

 Ibrahim (dua, kiri) bersama Ketua Cawangan lain yang memilih untuk keluar Warisan berkuat kuasa pada Jumaat.
Ibrahim (dua, kiri) bersama Ketua Cawangan lain yang memilih untuk keluar Warisan berkuat kuasa pada Jumaat. – Gambar Utusan Borneo

“Kami telah bertungkus lumus untuk memenangkan WARISAN pada PRU-14 lalu, tetapi kami langsung tidak dihargai.

“Antaranya, cawangan kami gagal didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), walaupun telah hantar borang pendaftaran sebelum PRU-14 lagi,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu yang turut dihadiri kesemua 11 ketua cawangan terbabit.

Ibrahim berkata pengumuman keluar parti 11 cawangan itu tidak ada kaitan dengan mana-mana pemimpin atasan parti dan tindakan itu atas keputusan mereka sendiri.

Katanya, ahli yang keluar parti itu memilih untuk menjadi ahli bebas, sementara Ibrahim memaklumkan telah membuat keputusan untuk menyertai sebuah parti tempatan Sabah iaitu Parti Perpaduan Rakyat Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *