JHL Sabah Tahan Lelaki Jual Telur Penyu Di Facebook

Gambar Hiasan

PENAMPANG: Lelaki yang disyaki aktif menjual telur penyu melalui Facebook ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menerusi Ops Tapau hari ini.

Dalam serbuan pada 11 pagi itu, lelaki berusia 21 tahun terbabit ditahan bersama 20 biji telur penyu di kawasan parkir sebuah pasar raya di Putatan.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti lelaki terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan JHL Sabah berjaya mengesan individu terbabit dan mengenal pasti modus operandi yang digunakan suspek.

“Hari ini, kita berjaya mengesan suspek dan memeriksa Proton Wira miliknya selepas didapati aktif memasarkan telur penyu menerusi akaun Facebook miliknya.

“Anggota penguat kuasa merampas telur penyu dalam plastik warna hijau yang mengandungi dua bekas makanan berisi 10 biji telur setiap satu,” katanya dalam kenyataan media di Penampang hari ini.

Augustine berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum tindakan diambil terhadap suspek yang juga warga tempatan itu.

Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat untuk membantu melindungi spesies penyu yang juga haiwan yang dilindungi sepenuhnya di dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Katanya, hal itu termasuk hasil haiwan berkenaan khususnya telur penyu.

“Memiliki haiwan atau hasilnya dari spesies yang tersenarai dalam Bahagian I, Jadual I, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, iaitu haiwan yang dilindungi sepenuhnya, boleh dihukum dengan denda tidak kurang dari RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000.

“Selain itu, pesalah turut boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *