4 Cawangan Warisan Kota Belud Keluar Parti, Dakwa 500 Lagi Akan Menyusul

Pengerusi penaja cawangan Kota Belud Awang Salleh Makmud (duduk, tengah) dengan anggota kumpulan yang mengumumkan keluar Warisan hari ini.

KOTA KINABALU: 12 individu yang memohon menyertai Warisan setahun lepas menarik diri hari ini dengan berkata, mereka bosan menunggu kelulusan rasmi parti itu.

Kumpulan itu dari 4 cawangan di bahagian Kota Belud juga mendakwa mereka akan menarik keluar 500 orang daripada parti itu bersama-sama.

Bercakap pada sidang media di sini, mereka berkata, proses keahlian Warisan perlahan, tidak sistematik dan membenarkan amalan favoritisme.

Mereka juga mendakwa beberapa ribu orang masih menunggu pengesahan keahlian, hatta selepas 1 tahun.

Ketua kumpulan tersebut, Awang Salleh Makmud, yang merupakan pengerusi penaja cawangan Kota Belud berkata, mereka juga hilang kepercayaan pada kepimpinan parti di peringkat bahagian dan negeri.

Katanya, cawangan akan menghentikan jentera dan sekretariat masing-masing dan meninggalkan Warisan serta-merta serta menjadi ahli bebas.

“Selepas mesyuarat dari hati ke hati dengan ahli lain, kami memutuskan untuk menghentikan sokongan kepada Warisan,” katanya kepada pemberita.

Ini merupakan tamparan terbaru kepada parti kerajaan itu selepas 600 ahlinya di bahagian Sepanggar dilaporkan meninggalkan parti itu Ahad lepas.

Awang mendakwa pihak tertentu menghalang pengenalan muka baru kerana takut kedudukan dan pengaruh mereka akan tergugat.

“Banyak cawangan di Kota Belud belum didaftarkan secara rasmi. Kita tidak mendengar berita daripada ibu pejabat parti mengenai status cawangan ini walaupun ahli menyerahkan permohonan mereka setahun yang lalu,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *