COVID-19: Dua Kes Baharu Di Tuaran Daripada Kluster MDR

KOTA KINABALU: Sebanyak dua kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan kini sebanyak 366 kes.

Dua kes baharu itu dicatatkan di daerah Tuaran iaitu daripada kluster MDR (meninggal di rumah) membabitkan seorang warga tempatan dan seorang warga asing.

Pertambahan kes positif itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di Tuaran kini sebanyak empat kes.

Sementara itu, tiada pesakit jangkitan wabak itu yang sembuh dan discaj di negeri ini, hari ini dengan jumlah keseluruhan kes sembuh kekal sebanyak 350.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan juga kini sebanyak sembilan kes berbanding tujuh, semalam.

Selain itu, jumlah daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning kerana mempunyai kes aktif kekal empat daerah iaitu selain Tuaran, daerah lain ialah Penampang yang mencatat tiga kes manakala Papar dan Tawau masing-masing satu kes.

Dalam pada itu, tiada kes kematian akibat Covid-19 di Sabah hari ini dengan jumlah korban akibat wabak itu kekal tujuh iaitu empat di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau, Keningau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri ketujuh terbanyak mencatatkan jumlah kes Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat 2,430, Selangor (2027), Negeri Sembilan (1,015), Johor (688), Sarawak (569) dan Pahang (365).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *