Peter Anthony Alami Simptom Vertigo, Pendakwaan Ditangguh 10 Julai

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, Peter Anthony sepatutnya menaiki pesawat ke Kuala Lumpur petang semalam. FOTO FMT

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini untuk pertuduhan berkaitan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

Difahamkan, beliau yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu petang semalam berikutan mengalami simptom vertigo.

Berikutan itu, kes beliau yang sepatutnya didakwa mengikut Akta SPRM ditangguhkan ke 10 Julai ini.

Peguamnya, Haniff Khatri Abdulla memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Rozina Ayob dengan menunjukkan gambar Peter dimasukkan ke wad.

Menurutnya, beliau dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu petang semalam.

“Beliau seharusnya menaiki penerbangan untuk berada di sini pada 4.15 pagi. Saya dimaklumkan bahawa dia dimasukkan ke wad kerana vertigo,” katanya.

Rozina kemudiannya meminta laporan perubatan mengenai keadaan Peter Anthony untuk diserahkan ke mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon kes itu dipindahkan ke mahkamah asal di bawah Hakim Azman Ahmad.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula untuk dibaca pertuduhan pada 10 Julai ini di hadapan Azman.

Haniff ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, anak guamnya dijangka menghadapi satu pertuduhan hari ini dan tuduhan itu belum dibacakan di mahkamah.

“Sijil sakit beliau akan diserahkan kepada mahkamah secepat mungkin selepas dikeluarkan doktornya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap itu mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM8.75 juta di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.- HMEtro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *