Empat Termasuk Dua Beradik Dikdakwa Palsukan Dokumen Dapatkan Tender

KOTA KINABALU: Empat kontraktor termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Mohd Zul Azri Abd Shani, 41; Linah Adou, 43; Syed Hairul Nizam Syed Abdul Hamid, 41 serta adiknya Sharifah Norhafizah, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapatkan tender berkenaan bagi tempoh 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019 pada 24 November 2016 di pejabat JPNS.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan masing-masing, namun Mohd Zul Azri, Syed Hairul Nizam dan Sharifah Norhafizah diperintah membayar deposit sebanyak RM5,000 manakala Linah sebanyak RM3,000.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Clementine Severinu, manakala Syed Hairul Nizam serta adiknya Sharifah Norhafizah diwakili Azhier Farhan sementara dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam. –BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰Â https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *