Saman Terhadap Musa Aman Kempen Fitnah – Rahman Dahlan

Ahli Majlis Tertinggi Umno Rahman Dahlan berkata, keputusan mengumumkan saman RM872 juta Yayasan Sabah terhadap Musa Aman ‘bertujuan mendapatkan mata politik’.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan hari ini mempersoalkan masa saman Yayasan Sabah terhadap bekas ketua menteri Musa Aman dibuat, dengan berkata ia merupakan balas dendam politik.

Rahman berkata, masa saman itu dibuat, yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada kempen fitnah, “sangat meragukan”.

“Kenapa sekarang, bukan 6 bulan atau setahun lepas?

“Saya berani berkata bahawa saman mengejut yang dibuat oleh Yayasan Sabah di bawah pentadbiran Warisan itu menyerupai percubaan untuk mengenakan semula pertuduhan rasuah yang menyaksikan Musa dilepaskan 3 hari sebelum beliau memfailkan rayuan dalam kes siapakah ketua menteri Sabah sebenar pada 2018,” kata ketua Umno Tuaran itu dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, pengarah yayasan milik kerajaan negeri itu, Jamalul Kiram Mohd Zakaria memfailkan saman terhadap Musa dalam usaha mendapatkan semula wang berjumlah RM872 juta yang didakwa hilang semasa beliau merupakan pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Jamalul berkata, lembaga itu percaya dana tersebut hilang susulan aktiviti pembalakan yang meragukan.

Musa menafikan dakwaan itu dan dalam satu saman balas menuntut ganti rugi fitnah RM1 bilion, selain permohonan maaf rasmi berkait keputusan lembaga itu membuat kenyataan awam berhubung saman ratusan juta ringgit terhadap dirinya.

Rahman berkata, keputusan lembaga pemegang amanah mengumumkan saman itu secara terbuka bertujuan untuk “mengejutkan dan menakjubkan” bagi “mencetuskan sensasi dan meraih mata politik”.

Beliau berkata, ia berlaku pada masa tularnya cakap-cakap mengenai wakil rakyat Warisan akan melompat parti, sekali gus bertanya sama ada gabungan pemerintah itu menggunakan “taktik kotor undang-undang” kerana takut.

Katanya, rakyat Sabah sedar bahawa dakwaan terbaru terhadap Musa adalah menyerupai pertuduhan rasuah dan pengubahan wang yang digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.

“Nampaknya kerajaan pimpinan Warisan tidak berpuas hati terhadap keputusan itu dan bermati-matian mahu mengenakan Musa,” katanya.

Kenyataan ahli Parlimen Warisan bukti kempen jahat terhadap Musa

Rahman juga berkata, kenyataan ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman menjelaskan niat kerajaan negeri.

Azis dilaporkan menyuarakan kekecewaaannya bahawa Peguam Negara Idrus Harun memutuskan Musa tidak bersalah sedangkan Tommy Thomas sebelum itu menganggap adanya kes terhadap beliau.

Beliau mengeluh tentang perubahan yang berlaku sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan, selain memberi amaran sekiranya kerajaan bertukar sekali lagi, peguam negara mungkin digantikan dan pandangan juga mungkin berubah.

Rahman berkata, kenyataan Azis “membuktikan kempen fitnah terhadap Musa bermula apabila Warisan mendapat kuasa dengan sokongan kerajaan Pakatan Harapan (PH)”.

Beliau bertanya kenapakah keputusan Thomas memulakan semula kes Musa boleh diterima sedangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong telah melepaskan beliau, tetapi keputusan Idrus “menggugurkan kes itu dipersoalkan”.

Beliau berkata, tidak harus ada dwistandard dalam perkara itu.

“Ia menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Warisan sentiasa kacau bilau, dan tertumpu kepada kempen untuk ‘mengenakan Musa’, bukannya mentadbir negeri.- FreeMalaysiaToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *