Sabah Beli Hampir 15 Juta Pelitup Muka Bantu Rakyat Harungi COVID-19 – Shafie

TAWAU, 21 Jun: Kerajaan Sabah membeli hampir 15 juta pelitup muka dan pensanitasi tangan dalam usaha membantu rakyat negeri itu berdepan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembelian itu termasuk untuk bekalan sekolah-sekolah di Sabah yang bakal dibuka pada 24 Jun.

Beliau berkata lebih 200 sekolah di Sabah telah dibekalkan dengan pelitup muka dan pensanitasi tangan.

“Hal ini supaya apabila sekolah dibuka, bukan sahaja penjarakan (sosial) itu penting tetapi pelitup muka juga boleh digunakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyerahkan sumbangan peribadi dan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria kepada 60 ketua keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Sri Aman.

Mohd Shafie juga berkata keluarga yang terjejas akibat kebakaran itu pada 4 Jun lepas akan ditempatkan di PPR Bubul Ria dengan syarat penempatan adalah berkonsepkan sewa beli. 

Roslan Gimbo, 44, bersyukur kerana dipilih menduduki unit di PPR Bubul Ria selepas rumahnya musnah dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi itu.

Wadhumar Alimusa, 36, pula senada dengan Roslan dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib mangsa kebakaran yang hilang tempat tinggal.

“Banyak yang diberikan oleh pihak kerajaan sebelum ini, dan kemuncaknya ialah pemberian rumah PPR yang jauh lebih selesa dan tidak terdedah dengan kebakaran.

“Sejak dari kejadian kebakaran itu, saya terlalu trauma kerana musibah tersebut bukan sahaja menyebabkan kehilangan harta benda tetapi hampir membuatkan anak saya terbunuh” katanya. 

Beliau berkata kawasan kediaman yang terbakar itu sememangnya terdedah kepada kebakaran kerana keadaan rumah rapat dan tidak teratur. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *