Dua Wanita Maut Kereta Putus Dua Kemalangan Di Tambunan

KENINGAU: Dua wanita maut manakala dua lelaki parah selepas kereta dinaiki mereka terputus dua selepas merempuh tiang elektrik dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, di Tambunan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, empat mangsa yang menaiki Proton Wira bergerak dari arah Kampung Minodung menuju ke Kampung Kaingaran, Tambunan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bersama tiga penumpang termasuk dua wanita.

Katanya, ketika sampai di jalan selekoh, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta dinaiki semua mangsa terputus dua dan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

“Susulan itu dua wanita meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang hadapan dan penumpang belakang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, pemandu dan seorang lagi penumpang belakang iaitu seorang remaja mengalami kecederaan parah.

“Semua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tambunan untuk rawatan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu yang disyaki memandu laju sehingga terbabas sendiri,” katanya.

Shahrudin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *