COVID-19: Seorang Tahanan Di PTS Tawau Positif

KOTA KINABALU: Satu kes Covid-19 baharu yang dicatatkan di Sabah, hari ini, adalah membabitkan seorang warga asing di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Tawau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, tahanan di Tawau yang dijangkiti itu dikesan setelah menjalani proses pemeriksaan wajib sebelum dihantar pulang ke Indonesia.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini kini sebanyak 364 dengan Tawau kembali dikategorikan sebagai zon kuning kerana mempunyai kes aktif.

Sementara itu, seorang lagi pesakit di Pitas telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini, dan daerah itu kini kembali dikategorikan sebagai zon hijau kerana sifar kes aktif.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di Sabah kini sebanyak 350 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kekal sebanyak tujuh kes.

Jumlah daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning kerana mempunyai kes aktif juga kekal sebanyak empat daerah iaitu Penampang yang mencatat tiga kes, Tuaran sebanyak dua kes manakala Tawau serta Papar masing-masing satu kes.

Dalam pada itu, tiada kes kematian akibat Covid-19 di Sabah hari ini dengan jumlah korban akibat wabak itu kekal tujuh iaitu empat di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau, Keningau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri ketujuh terbanyak mencatatkan jumlah kes Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat 2,430, Selangor (2025), Negeri Sembilan (1,002), Johor (687), Sarawak (569) dan Pahang (365). – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *