Pemberian IMM13, Kenapa Joniston Bangkuai Diam? – Jo-Anna

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang hanya berdiam diri selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencadangkan untuk melaksanakan pemberian IMM13 menggantikan Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Katanya, Joniston sebelum ini sangat vokal menggesa kerajaan Sabah untuk menghantar pulang pelarian Filipina kerana perang saudara Mindanao telah berakhir.

“Joniston pernah berkata atas dasar kemanusiaan kita bersimpati dengan nasib orang-orang ini yang terperangkap di tengah-tengah perang dan politik.

“Walau bagaimanapun, pemegang kad IMM13 sebagai pelarian, bukanlah orang tanpa kerakyatan,” katanya.

Sebelum ini, Joniston dalam laporan sebuah portal berita tempatan pernah mempersoalkan pembukaan semula pendaftaran anak-anak pemegang IMM13 yang didakwa dilakukan Jabatan Imigresen.

Beliau seperti dilaporkan berkata, pelarian bukanlah orang tanpa kerakyatan tetapi mempunyai negara asal untuk pulang selepas keadaan di sana pulih.

Bagaimanapun, ketika PN mengeluarkan cadangan pemberian IMM13 yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah antara yang cepat memberikan sokongan.

“Joniston sebagai Ketua Penerangan PBS perlu membuat kenyataan dan pendirian beliau terhadap IMM13, bukan hanya berdiam diri kerana orang ramai mempersoalkannya terutama pengundi di Kiulu, berdiam diri seolah-olah bersetuju dengan cadangan Hamzah, tidak seperti pendirian dahulu sebagai wartawan yang disegani sentiasa komited menolak isu ini.

“Kenyataan-kenyataan berhubung Pas Sementara Sabah (PSS) sebelum ini telah menuduh langkah itu akan membawa malapetaka pada bangsa Sabah kerana hak mereka akan dirampas oleh generasi IMM13,” katanya. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *