TERKINI: Yayasan Sabah Saman Musa Aman Tuntut RM872 Juta

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria

KOTA KINABALU: Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menuntut bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman membayar balik RM872 juta wang Yayasan Sabah yang hilang ketika mentadbir negeri bermula Mac 2003 hingga Mei 2018.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria berkata, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah sebagai plaintif membuat tuntutan selepas mempercayai Musa telah menggunakan jawatannya untuk mengarahkan anak syarikat Yayasan Sabah, Rakyat Berjaya Sdn. Bhd. menjalankan perniagaan balak yang meragukan.

“Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah ingin menuntut kembali wang berjumlah RM872 juta yang hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan yang meragukan, kami percaya wang ini adalah milik Yayasan Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman

“Yayasan Sabah yang merupakan pemegang konsesi pembalakan terbesar di Sabah ditubuhkan pada tahun 1966 untuk menjaga kebajikan, sosioekonomi rakyat Sabah serta membantu pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Dalam pada itu, Musa gagal melaksanakan tanggungjawab ‘fiduciary’ untuk memelihara kepentingan Yayasan Sabah dalam peranannya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Sabah,” katanya dalam sidang akhbar pagi ini.

Jamalul Kiram berkata, tuntutan mahkamah itu difailkan Selasa lalu menggunakan e-pemfailan melalui tetuan Lind Willie Wong & Chin dan writ saman akan diserahkan kepada Musa sebagai defendan tunggal dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan writ saman tersebut, Yayasan Sabah membuat sebanyak 11 tuntutan terhadap Musa iaitu:

a) membayar balik US$42 juta (RM178,920,000) wang milik Yayasan Sabah yang diberikan kepada UMNO Sabah

b) membayar balik US$90 juta (RM383,400,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang ketika pemerintahan Musa

c) membayar balik US$8.9 juta (RM37,914,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang ketika Musa mentadbir

d) membayar balik US$2 juta (RM8,520,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang disebabkan tindakan Musa melakukan pecah amanah

e) membayar balik RM263,460,962.30 wang milik plaintif yang hilang dan perlu dipertanggungjawabkan kepada Musa

f) membayar balik AUD17,258.85 (RM51,258.79) milik Yayasan Sabah yang dipindahkan oleh Musa kepada dua orang anak lelakinya

g) atas budi bicara mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun bagi semua tuntutan itu bermula dari tarikh kesalahan berlaku sehingga tarikh perbicaraan.

h) faedah berkanun lima peratus setahun bermula dari tarikh perbicaraan sehingga tarikh bayaran penuh tuntutan

i) semua tuntutan yang yang difikirkan bersesuaian oleh mahkamah

j) tuntutan-tuntutan lain

k) membayar kos mahkamah

Berdasarkan writ saman itu, sebahagian besar punca kehilangan wang berkenaan adalah melalui urus niaga yang dilakukan ahli perniagaan upahan Musa iaitu Michael Chia melalui beberapa institusi kewangan di Hong Kong.

Michael dikatakan menjadi perunding kepada Musa untuk aktiviti pembalakan di kawasan milik Yayasan Sabah dan mengutip semua wang haram untuk kepentingan peribadi Musa.

Sementara itu, peguam plaintif, Datuk Douglas Lind berkata, tuntutan tersebut sebahagiannya berkaitan pendakwaan ke atas Musa yang dilakukan sebelum ini selepas siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kami yakin mempunyai kes yang kukuh, ahli lembaga tidak akan memfailkan saman jika tidak yakin,” katanya yang turut hadir di sidang akhbar itu.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *