Penyeragaman IMM13 Kumpul Data Biometrik

LAHAD DATU: Penyeragaman dokumen warga asing dari Filipina di Sabah kepada satu dokumen iaitu IMM13 dilihat sebagai langkah proaktif pengumpulan data biometrik individu berkaitan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata, ia bagi membolehkan info seperti cap jari kelompok tersebut direkodkan dalam satu pangkalan data.

“Idea penyeragaman itu disuarakan sendiri oleh pasukan keselamatan bagi membolehkan pemegang dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung diselaraskan di bawah satu dokumen sahaja iaitu kad IMM13.

“Melalui pangkalan data itu nanti membolehkan kerajaan dan pasukan keselamatan memantau pergerakan kelompok tersebut dan mengesannya dengan segera jika mereka terbabit dalam aktiviti jenayah atau masalah sosial,” katanya.

Menurut Hazani, ketika ini tiga dokumen berkaitan tidak memiliki ciri keselamatan dan mudah dipalsukan.

“Ia hanya sekeping kertas dan gambar sekali gus memudahkan pemalsuan dokumen itu berlalu iaitu dengan hanya menukar gambar.

“Dalam masa sama pergerakan kumpulan itu  juga terhad di dalam Sabah sahaja yang mana membolehkan mereka bergerak atau bekerja di negeri ini sebagai warga asing.

Dalam masa sama, Hazani berpendapat penyeragaman dokumen itu dapat memudahkan pihaknya mengenal pasti pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Selain tiga kelompok berkenaan, warga asing yang hendak memasuki negara ini, perlu menggunakan pasport seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan penyeragaman dokumen warga asing dari Filipina di Sabah dengan hanya menggunakan satu dokumen sahaja iaitu IMM13 untuk menangani isu PATI warga Filipina di Sabah.

Katanya, kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang dokumen baharu kepada golongan itu, sebaliknya melihat untuk menggunakan satu dokumen sedia ada bagi mengelakkan sebarang kekeliruan seterusnya memudahkan proses pengusiran dilakukan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *