Peter Anthony Didakwa Bersubahat Dengan Michael Ubu

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan seorang peguam untuk melakukan pecah amanah melibatkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15,545,400.

Peter yang sebelum ini didakwa lima pertuduhan berkaitan kes tersebut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Pertuduhan itu dibuat di bawah seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 409 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan itu, Peter didakwa melakukan kesalahan itu antara 22 Julai 2014 dan 19 November 2015 di Bervely Hills Plaza, Jalan Bundusan, Penampang iaitu telah bersubahat dengan Michael Percius Ubu yang berperanan sebagai ejen kepada RISDA dalam urus niaga itu.

Urus niaga itu membabitkan wang berjumlah RM15,545,400, yang telah dibayar melalui cek Bank Muamalat ke dalam akaun Ambank milik Tetuan Michael Ubu & Co.

Menurut fakta kes, bayaran itu merupakan bayaran 10 peratus daripada harga jualan bagi pembelian tanah ladang kelapa sawit seluas 6,768.688 ekar di Sg Pinangah dan Sg Labau, Tongod.

Pada 11 Jun lepas Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta yang juga berhubung pembelian tanah Risda.

Dalam kes itu, mahkamah telah membenarkan Peter diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin tempatan, serta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sekali dalam dua bulan.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Peter memohon agar pihak mahkamah menguna pakai semula jaminan dan syarat tambahan yang dikenakan terhadap tertuduh dalam kes sebelum ini memandangkan kes berkenaan adalah berkaitan.

Kemudian mahkamah membenarkan permohonan untuk mengguna pakai jaminan terdahulu dan Peter hanya perlu menandatangani surat jaminan baharu serta sebutan semula kes berkenaan pada 4 Ogos ini, bersekali dengan kes terdahulu yang dihadapinya.

Pendakwaan dikendalikan oleh empat Pegawai Pendakwa SPRM iaitu Mohamad Fadhly Mohamad Zambry, Nartiah F. Mirchelle Sambatan, Amin Fakri dan Mohd Faliq Basarudin manakala Peter diwakili empat peguam iaitu Dominic Chew, Datuk Douglas Lind, Martin Tommy dan Luke Ressa Balang.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *