Kanak-Kanak Lemas, Bapa Dan Abang Hilang Dihanyut Arus Di Sungai Pagalan

Usaha mencari dua lagi mangsa dilakukan.

TENOM: Kanak-kanak lelaki ditemui lemas manakala abang dan bapanya hilang selepas perahu dinaiki mereka terbalik di Sungai Pagalan, Kampung Kalang Kanar, Tenom, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa berusia lapan tahun bersama bapa yang berumur 42 tahun dan abang berusia 10 tahun menyeberangi Sungai Pagalan menggunakan perahu kecil untuk ke kebun kelapa sawit sebelum perahu terbalik dipercayai akibat arus deras.

Semua mangsa adalah warga Filipina.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 1.15 tengah hari sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan polis dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom.

“Selepas 15 minit operasi SAR dilakukan, mangsa berusia lapan tahun ditemui.

“Mayat dihantar ke Hospital Tenom untuk bedah siasat manakala usaha mengesan dua lagi mangsa giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, operasi SAR dihentikan kira-kira 5 petang tadi akibat hujan lebat dan arus semakin deras.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang akan disambung esok,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *