Tiada Had Jumlah Pelanggan Duduk Satu Meja Di Restoran

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA – Sejumlah 178,083 restoran dan kedai makan di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega susulan mereka kembali dibenarkan menjalani operasi perniagaan dalam kapasiti penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Hal itu kerana kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak menetapkan lagi had jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk bagi setiap meja makan di restoran serta kedai makan.

Berita baik itu dijangka turut memberi kelegaan kepada 907, 453 pekerja dalam bidang makanan dan minuman yang sebelum ini bimbang berdepan risiko kehilangan pekerjaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanggan restoran dan kedai makan kini tidak lagi dihadkan dan boleh kembali duduk berdasarkan saiz meja.

Menurutnya, kebenaran itu terpakai selagi ada inisiatif pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial antara pelanggan restoran dan kedai makan terlibat.

“Cuma isu hendak ditekankan di sini ialah mengenai penjarakan sosial, selagi aspek ini dipatuhi, kerajaan tiada halangan mengenai jumlah pelanggan di meja makan.

“Kalau boleh muat lapan orang, lapan orang boleh duduk. Kalau boleh 10 orang, 10 orang dibenarkan duduk,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Terdahulu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), restoran akan dibenarkan menerima pelanggan untuk makan di premis dengan satu meja tidak lebih empat orang.

Semua pelanggan juga perlu memberikan nama, nombor kad pengenalan diri (MyKad), nombor telefon dan membenarkan suhu badan diambil.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, jarak antara meja juga perlu sekurang-kurangnya dua meter.

Tempoh perniagaan restoran dan kedai makan sebelum ini turut dibenarkan beroperasi daripada 7 pagi sehingga 10 malam, kepada 7 pagi sehingga 12 tengah malam.

Pemilik restoran juga perlu menyediakan pembersih tangan dan kemudahan membasuh tangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *