Kluster Baharu COVID-19 Dikesan Di Sabah

PUTRAJAYA: Kluster baharu Covid-19 dikesan di sebuah rumah di Sabah membabitkan satu kematian dan dua kes positif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan itu membabitkan warga emas yang meninggal dunia di rumah pada 12 Jun lalu akibat komplikasi jantung.

Menurutnya, warga emas iaitu kes ke-8,403 itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Sabah, untuk saringan Covid-19 dan didapati positif.

“Siasatan mendapati sebelum ini beliau mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth 2.

“Aktiviti saringan kontak rapat dijalankan dan didapati dua kakitangan wad positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini seramai 63 individu termasuk 21 anggota kesihatan, dua pesakit, 40 ahli keluarga dan rakan dikenal pasti serta disaring.

Katanya, langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di semua tempat yang dikenal pasti terdedah termasuk di wad dan rumah arwah.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkhidmatan Hospital Queen Elizabeth 2 tidak terjejas dan berterusan seperti biasa.

“Punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan,” katanya.- HMEtro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *