Anak Jati Kudat Antara Wanita Berkhidmat Di Loji LNG Terapung Pertama Di Dunia

KOTA KINABALU: Sifat ingin tahu apa yang terselindung di sebalik lautan berhampiran pantai tempatnya bermain semasa zaman kanak-kanak akhirnya membawa Ellfira Fanira Rusileh,26, mencari sendiri jawapannya.

Tidak disangka perasaan ingin tahu itu mendorong anak jati Kudat ini untuk berusaha menemui jawapannya.

Peluang bekerja dengan Petronas di loji terapung bagi pemprosesan gas asli cecair (PLNG) yang pertama di dunia tidak dilepaskan.

Ellfira,26, kini seorang jurutera operasi di PFLNG SATU milik PETRONAS yang beroperasi di medan gas Kebabangan, kira-kira 90km dari Kota Kinabalu.

Perjalanan ke PFLNG SATU dari Kota Kinabalu mengambil masa 20 minit dengan helikopter atau dua jam setengah dengan bot.

Berkhidmat dalam bidang yang dikuasai kaum lelaki ini sedikit pun tidak membuatkan Ellfira merasa terasing.

Sifatnya yang gemarkan aktiviti lasak sejak dari zaman sekolah membuatkannya mudah untuk bekerja dalam persekitaran yang mencabar sebegitu.

“Sokongan rakan sekerja membolehkan saya menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang mencabar. Malah, mereka banyak membantu dan menganggap saya seperti ahli keluarga.

“Semangat berpasukan amat tinggi serta panduan yang diberikan Petronas bagi menggalakkan kami meningkatan kemahiran bekerja juga memudahkan proses bekerja di loji terapung sebegitu,” kata Ellfira.

Rutin kerjanya memerlukan anak keempat daripada lima beradik ini bertanggungjawab memastikan loji berkenaan beroperasi dengan cekap dan selamat.

Katanya, bekerja di loji terpung itu ibarat satu pengembaraan dalam hidup. Walaupun pada awalnya ibu bapanya agak keberatan membenarkan dia bekerja di tengah laut tapi, jaminan keselamatan diberikan Petronas membuatkan kedua ibu bapanya redha dengan tuntutan kerjanya sebagai jurutera operasi.

Bapanya, yang berasal dari Kampung Tagaroh, Kota   Marudu bertugas sebagai penjawat awam manakala ibunya, seorang Rungus dari Kudat, adalah suri rumah.

Ellfira berkata, sekiranya diberi peluang untuk membina semula kerjayanya, dia tetap akan memilih kerjaya sekarang.

Faktor minat terhadap matematik dan kimia, pencapaian baik di sekolah dan tajaan pendidikan Petronas untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Kimia membuka peluang untuknya mengatur langkah menjadi jurutera Petronas.

Ellfira yang menamatkan pengajian pada 2017 ini memulakan khidmatnya di Petronas di Malaysia LNG (MLNG), Bintulu selama enam bulan pada November 2017 sebagai pendedahan kepada operasi loji LNG.

“Tempoh enam bulan itu seperti memasuki universiti untuk kali kedua, universiti LNG. Saya ditugaskan bersama-sama dengan pasukan operasi. Pengalaman ini banyak membuka minda saya mengenai operasi sesebuah loji LNG,” katanya.

Pada ketika itu, PFLNG SATU masih beroperasi di perairan Kanowit, Sarawak sebelum ia dipindahkan ke medan Kebabangan Sabah pada Mac tahun lalu.

PFLNG berketinggian 10 tingkat bangunan sepanjang 365 meter atau tiga kali panjang padang bola sepak. Ia dibangunkan pada kedalaman air antara 70 hingga 200 meter.

PFLNG SATU ini berfungsi mengeluarkan, mencair dan menyimpan gas asli di lokasi terpencil dengan dengan kapasiti pemprosesan 1.2 juta tan LNG setahun.

Loji operasi ini mempunyai 150 kakitangan yang bekerja mengikut giliran, bekerja mengikut syif selama 12 jam sehari.

Kemudahan lain seperti gimnasium dan gelanggang futsal turut dibina di situ bagi membolehkan kakitangan beriadah apabila mempunyai masa terluang sepanjang tiga minggu bekerja di tengah lautan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *