Taman Hidupan Liar Lok Kawi Dibuka Semula, Suasana Sunyi, Lengang

PAPAR: Hari pertama pengoperasian semula Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kinarut semalam menyaksikan suasana agak sunyi dan lengang.

Tinjauan mendapati belum ada pengunjung ke sana, melainkan hanya beberapa pekerja yang sibuk melaksanakan tugas masing-masing.

Suasana sunyi dan lengang di Taman Hidupan Liar Lok Kawi pada hari pertama pengoperasian semula, semalam. – Foto NSTP/Rafiqah Dahali

Pegawai Hidupan Liar Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Siti Nur Ain Ampuan Acheh, berkata taman hidupan liar berkenaan menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) ke atas pengunjung.

“Pengunjung yang datang diminta menulis maklumat diri dalam buku yang disediakan, memakai pelitup separuh muka dan mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman, di samping pihak kami akan memeriksa suhu badan mereka.

“Bagi pengunjung yang membawa keluarga, kami menetapkan peraturan hanya seorang saja wakil untuk membeli tiket di kaunter jualan tiket.

“Selain itu, kami juga melakukan nyah cemar setiap hari. Pihak kami turut meletakkan tanda untuk penjarakan sosial terutamanya di pondok pelawat yang berfungsi sebagai tempat untuk pengunjung meninjau haiwan.

“Kami hanya menetapkan seramai 50 pelawat pada satu-satu masa. Memandangkan kawasan ini luas kemungkinan ia tidak akan menjadi sesak tetapi pihak pengurusan tetap memantau sekiranya berlaku kesesakan disebabkan penjarakan sosial tidak dipatuhi,” katanya.

Siti Nur Ain berkata pihaknya menjangkakan buat masa ini pengunjung masih berkurangan.

“Sebelum PKP dikuatkuasakan, biasanya kami menerima sekitar 100 sehingga 200 pengunjung setiap hari pada Isnin hingga Jumaat dengan kutipan tiket boleh mencecah RM2,000.

“Manakala pada hujung minggu dan cuti sekolah, bilangan pengunjung akan menjadi dua kali ganda dari hari biasa dan hasil tiket turut mencecah dua kali ganda.

“Namun apabila taman hidupan liar ini beroperasi semula selepas PKP, kami menyasarkan sekurang-kurangnya 50 pengunjung datang terutamanya pelawat tempatan.

“Kami tidak mengenakan larangan had umur pengunjung yang datang tetapi mereka haruslah mematuhi SOP,” katanya.

Siti Nur Ain berkata 70 peratus pengunjung yang datang adalah orang tempatan.

Selain Taman Hidupan Liar Lok Kawi, turut dibuka semula mulai semalam adalah Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik ๐Ÿ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *