Lelaki Maut Ditikam Angkara Telefon Bimbit

Lelaki berusia 24 tahun ditemui orang awam di kaki lima sebuah kedai serbaneka dalam keadaan berlumuran darah di bahagian perut  . – Foto Ihsan Pembaca

KLANG: Seorang lelaki maut ditikam selepas disyaki mencuri telefon bimbit dalam kejadian di Bandar Bukit Tinggi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang jam 6.50 petang.

“Mangsa berusia 24 tahun yang berasal dari Sabah itu ditemui orang awam di kaki lima sebuah kedai serbaneka dalam keadaan berlumuran darah di bahagian perut sebelum dikejarkan ke hospital.

“Pemeriksaan awal pihak perubatan mendapati terdapat satu kesan tikaman pada abdomen sebelah kanan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang disyaki mencuri satu telefon bimbit milik seorang lelaki.

Katanya, susulan itu, pihaknya menahan tujuh individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 16 hingga 38 tahun di sekitar Bukit Tinggi untuk siasatan lanjut.

“Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *