Jawapan Penuh Limus Jury Terhadap Kontrak Ratusan Juta

KOMEN: Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan media Datuk Dr.Yusof Yakob, Ketua Penerangan Multimedia & Pendidikan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada kelmarin (15 Jun 2020) dan laporan portal “BorneoToday” bertajuk “KONTRAK RATUSAN JUTA PUNCA LIMUS, JAMES TINGGALKAN UPKO”, berikutan keputusan saya bersama ADUN Sugut, Datuk James Ratib meninggalkan UPKO untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN), peneraju Kerajaan Persekutuan.

Antara lain Dr.Yusof menyatakan bahawa, “Saya mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat-Perwira Progresif Sdn Bhd yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjumlah RM385 juta dan tindakan meninggalkan UPKO adalah demi kepentingan diri dan bukan untuk rakyat”.

Saya tidak menafikan mempunyai kaitan dengan Perwira Progresif, syarikat yang saya asas dan usahakan sebelum dipilih menjadi Wakil Rakyat (ADUN Kuala Penyu). Ia adalah syarikat milik Bumiputera-Kadazan Dusun Tatana Kuala Penyu yang qualified, mempunyai rekod dan kemampuan melaksanakan projek-projek yang diamanahkan dengan jayanya.

Berdasarkan fakta itu, Perwira Progresif bersama puluhan syarikat lain bukan milik Bumiputera telah menyertai tender Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan telah diberi kepercayaan sebagai pelaksana salah satu daripada pakej iaitu Menaik Taraf Jalan dari Inanam ke Sepanggar.

Perwira Progresif bukan syarikat ali bana yang sub projek kepada kontraktor lain. Ia adalah sebuah syarikat Bumiputera milik Kadazan Dusun Tatana yang qualified untuk melaksanakan projek tersebut dan juga projek-projek lain menerusi proses tender yang ketat. Justeru tuduhan Dr. Yusof bahawa kerana kontrak ratusan juta menjadi punca saya  tinggalkan UPKO adalah tidak berasas dan prejudis.

Saya juga ingin bertanya kepada Dr.Yusof, adakah pemimpin Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Sabah termasuk menteri-menteri tidak melobi projek? Kerana ada di antara mereka telah menemui saya untuk berbincang soal projek.

Saya dan Datuk James meninggalkan UPKO  kerana telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti yang tidak konsisten dalam perjuangan dan hala tuju, selain kerana Kerajaan Sabah termasuk UPKO tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan dan masih menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru langkah terbaik yang perlu kami buat adalah meninggalkan UPKO demi kebaikan dan kemajuan rakyat dari kawasan kami.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau merupakan pemimpin yang hipokrit dan pentingkan diri sendiri. Beliau hanya sibuk mengangkat kaki Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal sehingga tidak mempedulikan ADUN-ADUN UPKO  dan pemimpin parti yang lain.

Seolah-olah mereka tidak wujud. Sebaliknya Madius hanya mengutamakan konco-konconya sahaja.

Umum mengetahui bahawa sebagai salah seorang pemimpin kanan UPKO dan ADUN, selama ini saya tidak pernah diberi sebarang jawatan lantikan politik dalam kerajaan atau pun GLC milik kerajaan. Sebaliknya mejoriti jawatan-jawatan tersebut telah dibolot oleh pemimpin Warisan.

Walaupun tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan, dengan kudrat yang ada, saya tetap berusaha dengan sedaya yang termampu, memberikan perkhidmatan terbaik dan membantu rakyat khususnya di kawasan yang saya wakili. Membela nasib dan masa depan mereka dengan kemampuan yang ada.

Perlu ditegaskan di sini, kami bukan melompat tetapi hanya keluar daripada UPKO dan melepaskan semua jawatan dalam parti untuk menjadi ADUN bebas. Kami juga tidak menyertai mana-mana parti politik yang ada setakat ini. Justeru, dakwaan melompat parti adalah tidak berbangkit.

Kami menyokong Kerajaan PN dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana yakin dan percaya PN boleh membawa perubahan kepada landskap di dalam negara dan Sabah khususnya.- BorneoToday

* Datuk Limus Jury merupakan ADUN Kuala Penyu

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *