PBS Sambut Baik Langkah KDN Atasi Isu Pendatang Asing Di Sabah

Presiden PBS Maximus Ongkili mengetuai pimpinan kanan parti itu menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di Kota Kinabalu semalam.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik pendekatan baru Kementerian Dalam Negeri berhubung isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negeri itu.

Menyifatkannya sebagai berita baik, Presiden PBS Maximus Ongkili, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, langkah berkenaan akhirnya diharap dapat mengatasi masalah yang sekian lama dihadapi berhubung kehadiran ramai pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Akhirnya, gesaan kita didengar. Kita percaya ia akan dapat menyelesaikan isu yang sekian lama dihadapi. Hari ini, beberapa pemimpin kanan PBS dan saya berkesempatan bertemu Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bagi membincangkan beberapa isu, termasuk pendatang asing tanpa izin.

“Kami juga menyerahkan satu memorandum kepada beliau untuk berkongsi cadangan dalam menyelesaikan isu yang sentiasa menjadi kebimbangan sejak parti ini ditubuhkan 3 dekad dahulu,” kata Ongkili dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hamzah pada persidangan akhbar selepas melawat Pusat Tahanan Sementara Manggatal di sini hari ini berkata, kerajaan akan hanya mengiktiraf dokumen IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian yang melarikan diri ke Sabah semasa perang saudara di selatan Filipina semasa 1970-an.

Kementerian akan menilai dan mengenal pasti mereka yang memegang dokumen IMM13 dan kemudian menyerahkan kepada kerajaan negara asal mereka untuk mengeluarkan dokumen perjalanan yang teratur kepada mereka yang berkenaan.

Ongkili berkata, “kita yakin sepenuhnya kepada beliau (Hamzah) untuk menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah. PBS menyokong sepenuhnya rancangan beliau.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *