Kerajaan Pimpinan WARISAN Masih Teguh Dengan 2/3 Majoriti

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah masih berdiri teguh dengan 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) biarpun dua ADUN UPKO meninggalkan parti tersebut.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong berkata, pada masa ini kerajaan Sabah masih memiliki 41 kerusi daripada keseluruhan 60 kerusi DUN.

Manakala, Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai 19 kerusi termasuk dua ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang meninggalkan parti tersebut bermula hari ini.

“Ini tidak termasuk lima ADUN dilantik dan kami masih mempunyai kuota untuk ADUN dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Junz yang juga ADUN Tanjung Aru ini berkata, ketika ini penting untuk memperjelaskan fakta ini susulan pelbagai sentimen yang dimainkan.

”Saya tahu ada banyak cakap-cakap yang berasaskan sentimen. Tapi, jika lihat fakta dan bilangan kerusi yang ada, kedudukan kerajaan pimpinan Warisan tidak terjejas,” ujarnya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan ini berkata, kebanyakan rakyat Sabah mahu kerajaan fokus kepada usaha membangunkan Sabah dan bukannya menjadi sebahagian daripada permainan kuasa di persekutuan.

Beliau berkata, rakyat Sabah sebenarnya muak dengan langkah yang dimulakan di Semenanjung Malaysia ini.

“Kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada itu.

“Majoriti rakyat Sabah dan pemimpin di negeri ini mahu memberi fokus kepada usaha membangunkan semula Sabah,” ujarnya.

Dua ADUN UPKO yang mengumumkan keluar daripada parti itu adalah Naib Presiden UPKO merangkap ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UPKO, Datuk James Ratib.

Kedua-dua ADUN ini menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam sidang media hari ini, kedua-dua mereka juga bersedia menyokong Tan Sri Musa Aman sekiranya ADUN Sungai Sibuga ini mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Musa, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu baru dibebas dan dilepaskan daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi pembalakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jun lalu.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *