Kami Tak Mudah Dijatuhkan Dengan Pembelotan Seperti PBS, Kata Pemimpin Warisan

Loretto Padua Jr berkata, 33 Adunnya tidak akan melompat parti dan menyokong penuh Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.

PETALING JAYA: Selepas berkuasa melalui pembelotan politik pada 2018, kini timbul spekulasi parti pemerintah Warisan akan tumbang, juga kerana pembelotan.

Tetapi, Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr, yakin parti itu akan terus berkuasa.

Ini kerana katanya, Warisan bukannya Parti Bersatu Sabah (PBS) dan 33 Adunnya tidak akan melompat parti.

“Semua Adun menyokong penuh Ketua Menteri, Shafie Apdal. Dan sekutu kami dalam DAP dan PKR juga setia kepada parti mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau menolak kemungkinan Adun PKR Sabah akan keluar parti untuk bergabung dengan bekas timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali, yang kini bersama Perikatan Nasional.

Pembelotan ialah ciri umum dalam politik Sabah. Kerajaan negeri pimpinan PBS, yang kali terakhir dipimpin sebuah parti “pembangkang”, digulingkan susulan Adun PBS beralih sokongan kepada Barisan Nasional selepas pilihan raya negeri pada 1994.

Tetapi, Padua tetap yakin Adun pada masa ini, menumpukan kebebasan dan autonomi yang dinikmati Sabah di bawah Warisan, tidak seperti pendahulunya, tidak perlu menerima arahan dari Putrajaya.

Warisan kekal sebagai sekutu Pakatan Harapan, walaupun selepas gabungan itu kehilangan kuasa pada Februari lalu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Di Sabah, kami buat keputusan sendiri, tidak perlu menjawab kepada Kuala Lumpur, walaupun ketika PH menguasai kerajaan persekutuan.”

Katanya, Warisan berbeza dengan PBS kerana semua komuniti, di pantai timur dan barat Sabah, diwakili dalam Dewan Undangan Negeri dan kerajaan, memastikan kestabilan serta perpaduan di negeri ini.

Mengenai impak penahanan Naib Presiden Warisan, Peter Anthony atas tuduhan pengubahan wang, Padua percaya rakyat tidak akan terpedaya dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadapnya.

Beliau mempersoalkan kenapa tuduhan terhadap Anthony hanya dibuat sekarang, selepas tuduhan rasuah dan pengubahan wang ke atas bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman digugurkan.

“Saya rasa tuduhan terhadap Anthony dan khabar angin orang meninggalkan Warisan hanya kerana kami tidak menyokong Perikatan Nasional.

“Kami tidak bimbang, fokus kami ialah Sabah dan Warisan akan terus bertahan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *